Quantcast
Channel: IBNU RUSYDI

Dilema Uthaya Sankar Yang Keliru

$
0
0



Secara peribadi, penulis menghormatinya. Dia merupakan seorang penulis bukan Melayu yang menguasai Bahasa Melayu dengan baik sekali. Satu contoh yang perlu dijadikan ikutan khususnya kepada golongan yang beriya-iya mendakwa diri mereka ‘Malaysian First’ kononnya tetapi nak bercakap dalam Bahasa Kebangsaan sendiri tunggang-langgang! Namun begitu, apa yang penulis tidak bersetuju ialah apabila dia dengan mudah seringkali memesongkan sejarah Melayu yang dia sendiri tidak kuasai dan tidak faham apabila menyentuh sesuatu perkara. Boleh rujuk terlebih dahulu artikel dia sebelum ini serta jawapan yang telah diberikan :




Terbaru, sekali lagi dia cuba menarik perhatian di dalam artikelnya Dilema Melayu, Cina, India. Secara ringkas, penulis melihat isu utama yang cuba diutarakan olehnya adalah berkenaan dengan  kekeliruan istilah-istilah ‘Keturunan’, ‘Kaum’, ‘Etnik’, ‘Ras’ dan ‘Bangsa’ yang perlu diisi pada borang-borang rasmi. Namun begitu, daripada memfokuskan kepada topik perbincangan yang dia sendiri utarakan dan memberikan cadangan penyelesaian yang sewajarnya, dia memilih untuk ‘menyerang’ sejarah dan kewujudan Bangsa Melayu hanya bersandarkan semata-mata kepada sebuah buku tulisan pendapat seorang penulis yang tidak dikenali umum.


Bagi meringkaskan cerita dan menjimatkan ruang, disini penulis memberi ulasan kepada persoalan yang diutarakan :

1. Pada pandangan penulis, istilah ‘Keturunan’, ‘Kaum’ dan ‘Etnik’ pada borang-borang rasmi perlu disatukan menjadi ‘Suku Kaum’ atau ‘Etnik’ sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.  

2. Memandangkan istilah Bangsa mempunyai dua definisi yang berbeza, iaitu merujuk kepada ‘Kaum’ dan juga ‘Rakyat Bagi Sesebuah Negara’, maka boleh dicadangkan agar istilah ‘Bangsa’ pada borang rasmi diselaraskan merujuk kepada kaum sahaja.

3. Jika ‘Bangsa Melayu’ didakwa tidak wujud kerana tidak ada sebuah negara bernama ‘Melayu’ mengikut logik di dalam artikelnya, adakah boleh dikatakan (contoh sahaja) bahawa kaum Malayali (keturunan dia) juga sebenarnya tidak wujud kerana yang ada hanyalah Negeri Kerala di India, bukannya Negeri Malayalam?

4. Untuk makluman juga, sebelum Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia, negara Malaya (dalam Bahasa Inggeris) dipanggil sebagai ‘Persekutuan Tanah Melayu’ dalam Bahasa Melayu!

5.  Jika dia mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia yang berbeza bahasa Ibunda, budaya serta agama tidak ditanya tentang kaum dan keturunan mereka, maka lebih baik dia memulakan kempen menyokong penggunaan satu bahasa tunggal bagi memulakan kelahiran tulen Bangsa Malaysia. Sebagai permulaan, beliau boleh membuat penulisan mencadangkan kempen 1 Sekolah Kebangsaan untuk semua murid dan pelajar.

6. ‘Malay Race’ atau dalam Bahasa Melayunya ‘Ras Melayu’ adalah istilah yang dicipta oleh seorang saintis Jerman iaitu Johann Friedrich Blumenbach merujuk secara umum kepada kumpulan manusia berkulit coklat dan diberi nama berkenaan berdasarkan kepada kesamaan Bahasa Melayu yang digunakan. Bahasa Melayu adalah lingua franca di kepulauan Asia Tenggara dan berasal daripada Bahasa yang dipertuturkan oleh Bangsa Melayu di semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Borneo. Melayu bukan sekadar bahasa!

7. Menyanggah rujukan terhadap pendapat penulis buku bernama AB Sulaiman, Bangsa Melayu sememangnya mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Jika tidak, bagaimana wujud peraturan sebagaimana di dalam Adat Perpatih dan Adat Temenggung yang diamalkan dan diwarisi turun temurun sejak ratusan tahun dahulu? Bagaimana Kerajaan dan Kesultanan Melayu menulis Hukum dan Undang-undang negeri mereka seperti Undang-undang Kedah jika mereka tidak mementingkan aspek peraturan?

8.  Jika Melayu dikatakan enggan menerima perubahan, bagaimana tulisan di dalam Bahasa Melayu boleh mengalami transformasi daripada tulisan Kawi ke tulisan Jawi dan kini dalam tulisan Rumi?

9. Jika Melayu dikatakan hanya berpusatkan kelompok sendiri, bagaimana pribumi Melayu di semenanjung sanggup menerima jutaan imigran dari China dan India sebagai rakyat dan saudara mereka di dalam Negara Malaya yang merdeka hinggakan demografi bangsa mereka sendiri jatuh mendadak hanya dalam satu malam sahaja?

10. Melayu telah wujud di semenanjung lebih awal dari kewujudan Kerajaan Langkasuka lagi. Justeru itu, memang benar ada orang Melayu di Malaysia yang nenek moyang mereka bukan dari Indonesia berbanding sesetengah Melayu Anak Dagang yang lain.

11. Penyempitan definisi ‘Melayu’ di dalam Perlembagaan Malaysia yang mengikat Melayu dengan agama Islam tidak menafikan mengenai kewujudan Bangsa Melayu dari sudut sejarah. Malahan bukannya paksaan apabila terdapat Mualaf bukan Melayu yang baru memeluk Islam secara sukarela ingin mengamalkan adat budaya dan Bahasa Melayu sepenuhnya.

12.  Hang Tuah kononnya keturunan Cina hanyalah dakwaan segelintir keyboard warrior bukan Melayu, bukannya teori pun!

13. Berbalik kepada topik asal, jika istilah ‘India’ yang diisi pada borang rasmi dirasakan tidak tepat, maka boleh dicadangkan istilah lain, sebagai contoh ‘Dravidia’, untuk digunakan sebagai jalan penyelesaian. Habis cerita, tak perlu panjang lebar untuk putar belit tentang sejarah Melayu.

Sebagai penutup, sekali lagi penulis nyatakan, penulis amat-amat menghormati dia yang juga seorang penulis. Namun sekali lagi ditegaskan, itu tidak bermakna penulis hanya akan mendiamkan diri apabila dia dengan mudah menyebarkan fakta yang tidak betul mengenai sejarah dan bangsa penulis. Kepada dia, jangan mudah melabel dan memperlekehkan pembaca yang berani menyanggah kenyataan anda! Orang Melayu tidak ada dilema dan tidak keliru pun dengan sejarah mereka. Jika di dalam penulisan blognya, dia seringkali menyatakan dia anti golongan rasis, maka lebih baik dia benar-benar bersikap demikian dan jujur terhadap sejarah dan kewujudan Bangsa Melayu.  

Punca 'Awek Muda' Sertai DAP

$
0
0
 
 
the Malays are the most easily tricked and manipulated and conned into believing.
Barking Magpie (blogger)


Bagi anak muda yang sememangnya diketahui berdarah panas, waktu muda merupakan tempoh masa yang amat mencabar kerana di ketika inilah, mereka tercari-cari identiti diri mereka. Sifat anak muda, mereka sentiasa inginkan perhatian dan suara hati mereka didengari. Mereka suka melawan arus perdana dan mencabar kewajaran atau kerelevenan sesuatu perkara yang dianggap sudah lapuk. Emosi hati kerap kali mengatasi kewarasan minda mereka.

Anak muda juga mudah tertarik kepada sesuatu yang mereka anggap sebagai ‘cool’ dan ‘trendy’. Dalam mencari-cari identiti diri, ramai yang memilih mengikut trend atau gaya yang dibawa oleh pemuzik tertentu seperti Metal, Hip Hop, atau yang terkini K-Pop. Ketika era  sewaktu penulis muda dahulu, ramai rakan-rakan yang tertarik dan mengikut 'perjuangan' Skinhead. Mereka sentiasa menyebut-nyebut mengenai anti-racismdan working class walaupun mereka sebenarnya sepatah haram pun tak faham tentang perkara yang selalu disebut-sebutkan itu. Mereka hanya seronok untuk menyertai 'perjuangan' yang mereka rasakan'cool' dan bergaya kerana merasakan diri mereka mendapat perhatian oleh masyarakat awam.      

Dewasa ini, sering dihebahkan mengenai kemasukan golongan muda Melayu menyertai DAP. Maka sesetengah cendekiawan Melayu pun mula bersuara agar dibuat kajian mengapa golongan muda Melayu lebih tertarik menyertai DAP yang diketahui sebuah Parti Chauvinist.

Sebenarnya jawapan kepada persoalan tersebut adalah sangat mudah. Tak perlulah para Melayu-Melayu muda ini membuang masa kononnya “Kami sertai DAP kerana perjuangkan bla bla bla...”. Sebenarnya mereka hanyalah opportunis yang mahukan perhatian dan sambutan, itu sahaja. Cuba fikirkan sejenak, adakah cerita seorang perempuan muda bertudung bernama Shefura Othman atau nama manjanya Rara (yaks!) menyertai PAS akan menjadi tajuk yang dibincangkan secara meluas di blog-blog? Atau adakah cerita seorang perempuan freehair lulusan UiTM bernama Dyana Sofya menyertai UMNO akan menjadi tajuk-tajuk headlines di akhbar-akhbar perdana dan TV? Jawapannya sudah tentu TIDAK.

Walaupun ibu-ibu mereka adalah pejuang PAS dan UMNO yang merupakan dua parti Melayu-Islam yang dominan di negara kita, tetapi mereka sedar, penglibatan mereka di dalam parti-parti siasah berkenaan tidak akan sama dengan sambutan yang akan diterima sekiranya mereka menyertai DAP. Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak akan terhegeh-hegeh untuk turun hanya semata-mata hendak menerima sekeping borang permohonan keahlian PAS dari seorang perempuan muda bernama Shefura Othman yang tidak dikenali. Perdana Menteri Najib Razak tidak akan mengadakan satu majlis khas yang diliputi oleh media-media utama seperti RTM, TV3 atau Utusan Malaysia hanya kerana seorang perempuan bernama Dyana Sofya hendak menyertai UMNO.        

Tapi dengan menyertai DAP, para Melayu-Melayu ini diberikan sambutan luar biasa dan disertai dengan sesi perkenalan yang dihadiri oleh para pemimpin kanan parti chauvinist tersebut. Malahan menerima ucapan tahniah pula daripada para pemimpin parti chavinist tersebut di segenap peringkat walaupun sebenarnya tiada sebarang pencapaian pun yang mereka telah capai. Paling membanggakan diri mereka, mereka berpeluang untuk terus dicalonkan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen walaupun tidak berkelayakan kerana masih 'mentah'. Sesuatu yang para opportunis muda ini tak akan capai sekiranya mereka menyertai Parti siasah Melayu-Islam kerana mereka hanya akan menjadi seorang ahli biasa yang tidak berpengaruh .

Adakah perkara ini menjadi bukti bahawa DAP benar-benar telah berubah menjadi parti pelbagai kaum? Tidak. Parti tersebut terpaksa melakukan semua ini untuk menutup wajah chauvinist yang telah dizahirkan menerusi pemilihan CEC mereka sebelum ini. Cubaan untuk menonjolkan Zairil Khir Johari yang berwajah Cina sebagai Melayu di dalam DAP sebelum ini ternyata gagal. Dengan keyakinan bahawa undi Cina adalah teguh dibelakang mereka, DAP memerlukan beberapa salesgirl Melayu untuk memecah dan menarik sebahagian daripada undi masyarakat Melayu yang merupakan kaum majoriti untuk mendapatkan kuasa penuh. Sebagaimana lembu, para Melayu-Melayu muda yang menyertai DAP buat masa ini akan diternak dengan cukup baik. Mereka akan dijaga rapi dan diberi makan lalang dan rumput dengan secukupnya agar sentiasa gemuk dan sihat. Tetapi apabila masanya sudah tiba dan mereka telah mendapat kuasa penuh, bersedialah untuk dikorbankan. Memang itulah nasib orang Melayu sebagaimana yang telah terjadi di Singapura dan selatan Thailand.

Jika dibicara soal perjuangan, sepatutnya akal waras para Melayu-Melayu muda ini belajar daripada sejarah dan memikirkan amaran yang telah diberikan oleh mantan Timbalan Pengerusi DAP iaitu Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang telah merasai sendiri hipokrasi dan penipuan parti yang selama ini dipuja dan dipercayainya sebagai bersih dan amat demokratik (konon!). Mata mereka sepatutnya dibuka seluas-luasnya untuk melihat nasib Ahmad Ton yang setelah berdekad-dekad lamanya berjuang dan setia di dalam DAP, masih gagal dan akan terus gagal untuk menduduki kerusi CEC kerana beliau seorang Melayu berbanding dengan Cina yang baru setahun jagung menyertai politik tetapi terus diberi kepercayaan oleh DAP. Belum lagi kisah-kisah lain seperti nasib Mohamed Razali Abd Rahman yang telah dipecat serta merta dari DAP hanya kerana membuat laporan Polis mengenai perhimpunan yang dihadirinya mengandungi rancangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.      

Tetapi malangnya, para Melayu-Melayu muda ini lebih rela memilih untuk terus bersolek dan ber'posing' di bawah pancaran publisiti umpama seorang peserta Akademi Fantasia atau Dewi Remaja berbanding melihat dengan mata hati realiti perjuangan sebenar. Teruskanlah kalian tersenyum gembira dengan segala kehidupan glamour yang hanya sementara pada hari ini, tetapi jangan pula ditangisi nasib yang bakal menimpa apabila harinya telah tiba kelak. Kerana kesan buruknya bukan hanya kepada diri kalian sahaja, tetapi melibatkan untung nasib anak cucu kita semua juga nanti.
   

Orang Asal Hanya Orang Asli, Sabah & Sarawak?

$
0
0
 
 

“Sebenarnya, pilihanraya kecik punya time, I memang ada baca sejarah, OK. Baik orang Melayu, baik orang Cina, baik orang India, memang mereka itu datang dari merata. Cina dari China, Chinese dari China, memang tak boleh nafikan. India dari India. Tapi orang Melayu datang dari Indonesia dan segalanya. Itu memang. Jadi bila kita dah jadikan satu negara, bersama-sama dulu, jangan kita pertikaikan, u pendatang, apa yang u faedah dari cakap-cakap yang tak ye-ye. Tapi sejarah dah membuktikan, kita memang orang pendatang. Itu aje (ketawa). Yang betul-betul yang jadi asal orang kat sini ialah, macam katakan, orang Dayak, Senoi, Negritos, dan orang Sabah, Sarawak. Itulah betul-betul.”

 
Itulah petikan asal kenyataan Tan Lai Soon, perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dari Johor yang disiarkan oleh KiniTV dan menjadi viral baru-baru ini. Sebelum ini, Ketua Wanita PGRM iaitu Tan Lian Hoe pada 6 tahun lepas pernah membuat kenyataan yang hampir sama. Disamping itu, Chong Eng, ahli Parlimen DAP juga pada 3 tahun yang lepas ada menyatakan Melayu adalah pendatang dari luar Malaysia dan orang asal hanyalah Orang Asli.
 
Sebelum itu, untuk berlaku adil, kenyataan yang dibuat oleh Tan Lai Soon dibuat berdasarkan temubual dia dengan wartawan KiniTV, bukannya semasa persidangan PGRM. Temubual berkenaan juga dibuat dalam nada yang santai dan bukannya dalam nada provokasi. Kesilapan dia adalah dengan membuat kenyataan yang tidak cerdik dan tidak betul mengenai fakta sejarah negara dalam memberi contoh berkenaan isu perpaduan kepada sebuah portal yang diketahui menentang parti pemerintah. Tetapi dimaklumkan dia telahpun memohon maaf mengenai perkara tersebut.
 
Sebagai sebuah portal yang mengaku kononnya berkecuali tetapi diketahui memang sering mencabar isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam, KiniTV memang bijak mengambil kesempatan dengan menyebarkan isu ini untuk ditanamkan pada pemikiran anak muda kerana telah diketahui parti pemerintah tidak akan mengambil tindakan kerana perkara ini melibatkan ahli parti komponen mereka. Brilliant!

Mungkin boleh diulas sedikit mengenai pemahaman Tan Lai Soon yang tersasar jauh daripada fakta sejarah sebenar. Kerana bukan setakat anak-anak muda, malahan ramai politikus-politikus terutamanya bukan Melayu yang mempunyai anggapan yang sama.

Berkenaan dengan Orang Asli, mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa Orang Asli dikenali juga sebagai Proto-Malay. Nama 'Orang Asli' sendiri merupakan sebuah terma umum kerana ia sebenarnya merujuk kepada tiga (3) kelompok iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Aborigine Malay. Di bawah 3 kelompok ini pula mereka terbahagi lagi kepada beberapa sub-etnik.

Contoh sub-etnik di bawah Aborigine Malay adalah Kuala, Kanak, Jakun dan Temuan. Aborigine Malay yang tinggal di persisiran pantai dan menjalankan aktiviti perdagangan dan pelayaran adalah lebih maju dan terdedah kepada hubungan antarabangsa. Mereka kemudian menjadi Deutro-Malay. Oleh itu, Orang Asli dan Melayu saling berkait dan mempunyai hubungan yang dekat.

Contoh paling dekat yang dapat dilihat adalah kewujudan Suku Biduanda di Negeri Sembilan. Suku Biduanda merupakan hasil perkahwinan campuran antara Orang Asli di negeri berkenaan dengan Suku Minangkabau yang berhijrah dari Pagaruyung di Sumatera (Rujuk A. Samad Idris (1990) "Payung Terkembang" Pustaka Budiman).

Berkenaan dengan isu Bumiputera Sabah dan sarawak, kita rujuk pula senarai etnik-etnik yang terdapat di kedua-dua negeri berkenaan berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan : 
 
 
Bumiputera Sabah
Bumiputera Sarawak
Kadazan-Dusun
Iban
Murut
Melayu
Bajau
Bidayuh
Melayu
Melanau
Lain-lain Bumiputera
Orang Ulu dan lain-lain Bumiputera

 
Nah, dapat dilihat bahawa Melayu juga membentuk sebahagian daripada bumiputera di Negeri Sabah dan Sarawak. Jadi bagaimana pula saudara-mara mereka di semenanjung boleh dituduh sebagai pendatang pula? Kaum Bidayuh yang terdapat di Kuching boleh juga ditemui di Sambas. Kaum Iban juga banyak terdapat di Kalimantan Barat. Begitu juga kaum Murut yang boleh di temui di Kalimantan Timur. Jadi adakah ini bermaksud selepas ini mereka boleh menuduh kaum Dayak juga adalah pendatang dari Indonesia pula? 
 
Sebagai sebuah parti yang mendakwa bukan berasaskan perkauman dan terbuka untuk semua seperti Gerakan dan DAP, bukankah lebih baik dalam persidangan tahunan parti, mereka membuktikan perkara tersebut daripada sibuk memutarbelitkan sejarah negara amnya dan Melayu khasnya? Masih tidak kedengaran dari mulut Gerakan mahupun DAP mengenai sokongan mereka terhadap usaha untuk memperkasakan Sekolah Kebangsaan biarpun mereka paling lantang mengaku sebagai "Malaysian First, Chinese Second". Mengapa pula mereka seringkali mendesak agar peruntukan untuk Sekolah Vernakular bagi kaum-kaum tertentu dinaikkan? Sedangkan kaum-kaum lain seperti Melayu, Orang Asli, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Bidayuh, Melanau, Bisaya, Kelabit, Kayan, Kenyah, Rungus, dan sebagainya semuanya pergi ke Sekolah Kebangsaan. Siapa yang sebenarnya Malaysian First??! 
 
Jika sebelum persidangan bermula, Presiden Gerakan iaitu Mah Siew Keong ada menyatakan yang ahli dan pemimpin parti Gerakan yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman akan dikenakan hukuman berat termasuk dipecat, serta mencadangkan agar parti-parti komponen pemerintah yang lain untuk turut mengambil tindakan serupa. Tetapi sehingga kini, masih belum keluar sebarang kenyataan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap kenyataan yang telah diucapkan oleh Tan Lian Hoe dan Tan Lai Soon sebelum ini.
 
Penulis tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai isu tuduhan Melayu berasal dari Indonesia, kerana perkara ini telah ditulis dan diulas panjang dalam buku "Membongkar Rahsia Dunia Melayu" yang akan diterbitkan kelak di bawah tajuk "Penghijrahan di Alam Melayu". Sebagai tambahan, dua artikel lama boleh juga dirujuk dan dibaca kerana turut berkaitan :
 
 
 

Penyelesaian Isu Rohingya : Contohi Formula Malaysia

$
0
0



Jika ditanya kaum manakah yang paling malang di dunia ketika ini, sudah pasti jawapannya adalah Rohingya. Mereka inilah sebenar-benarnya contoh warganegara yang dilayan sebagai kelas kedua oleh Kerajaan negara mereka. Malahan lebih teruk lagi, tidak diiktiraf langsung sebagai warganegara oleh Junta tentera Myanmar. Penderitaan mereka kalaupun tidak setara, mungkin lebih teruk daripada nasib penduduk asal yang dijajah seperti Palestin, Melayu-Patani dan sebagainya.    
 
Jika ditelusuri sejarah kewujudan kaum Rohingya di Myanmar, mungkin terdapat sedikit persamaan dengan sejarah kewujudan negara kita. Secara ringkasnya dapat diterangkan, pada era zaman penjajahan dahulu, Myanmar (atau Burma) adalah sebahagian daripada empayar British-India. Justeru itu, tidak menghairankan sekiranya wujud kaum Rohingya yang lahir dan membesar di wilayah Arakan/Rakhine, Burma, yang terletak bersempadan dengan wilayah Bengal (Bangladesh dan East Bengal) tetapi mereka berketurunan Benggali. Bahasa dan budaya kaum Rohingya adalah lebih hampir dengan Benggali berbanding Burma. Namun begitu, untuk mendakwa bahawa kesemua Rohingya adalah Benggali dan hanya wujud mulai era penjajahan British di India dan Myanmar adalah tidak tepat kerana terdapat rekod yang menunjukkan kewujudan mereka lebih awal sebelum itu di Arakan. Maklumat lanjut boleh dirujuk pada buku Air Mata Kesengsaraan Rohingya (seperti dia atas) tulisan Azharudin Mohamed Dali dan Azalinariah Abdullah terbitan Inteam Publishing yang menerangkan perkara ini dengan lebih terperinci.
 
 


Sama seperti negara kita yang pernah dijajah British satu ketika dahulu, penjajah British telah membawa masuk ramai imigran dari tanah jajahannya di India serta selatan China untuk bekerja sebagai buruh di Tanah Melayu. Namun begitu, untuk mengatakan bahawa kaum Cina dan India hanya mula wujud di Tanah Melayu ketika era penjajahan British juga adalah tidak tepat kerana kewujudan kaum Cina dan India telah dapat dikesan sejak era Kesultanan Melayu Melaka lagi. Bezanya adalah kehadiran awal kaum Cina dan India di Tanah Melayu, mereka telah berasimilasi dengan penduduk setempat hingga melahirkan kaum peranakan seperti Baba-Nyonya, Chettiar, dan sebagainya berbanding dengan gelombang kedua kehadiran kaum Cina dan India yang tidak berasimilasi dengan budaya tempatan.      
 
Ketika negara kita ingin mencapai kemerdekaan, salah satu isu yang timbul adalah berkenaan dengan nasib, kebajikan serta masa depan imigran dari China dan India di Tanah Melayu. Namun begitu, atas dasar budi bicara dan tolak ansur oleh Kerajaan yang diterajui oleh bumiputera tempatan, mereka telah sanggup berkorban dengan menerima kaum Cina dan India yang berbeza sama sekali bahasa, budaya dan agama sebagai saudara mereka di dalam negara Malaya yang merdeka. Biarpun tindakan tersebut telah mengakibatkan demografi mereka sebagai kaum majoriti turun mendadak dalam masa semalaman sahaja. Lebih luar biasa, kaum-kaum imigran ini tidak dipaksa untuk berasimilasi dengan budaya tempatan. Tidak perlu menukar nama Liem Siow Liong menjadi Sudomo Salim sebagaimana di Indonesia, tidak perlu meminda nama Lin Minda menjadi Sondhi Limthongkul sebagaimana di Thailand. Hanya diminta agar kaum-kaum imigran ini dapat berintegrasi dan menghormati bumiputera tempatan serta menumpahkan taat setia mereka kepada negara ini sebagai tanah tumpah darah mereka. Tidak ada pun orang Melayu yang bising dan sibuk meminta supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat pemberian kad pengenalan IC secara besar-besaran kepada kaum-kaum imigran ketika kemerdekaan. Tetapi sebagai galang gantinya, kaum Melayu diberikan hak keistimewaan di dalam beberapa perkara untuk melindungi kebajikan dan kepentingan mereka sebagai pribumi asal.  
 


Berbeza dengan negara Burma yang merdeka pada 04 Januari 1948 dan kemudiannya menukar nama negara mereka kepada Myanmar. Mereka enggan mengiktiraf kewujudan Rohingya yang dianggap sebagai kaum pendatang dari Bangladesh, sedangkan kaum Rohingya ini lahir dan tinggal di wilayah Arakan. Salah satu faktor adalah disebabkan perbezaan bahasa, budaya serta agama kaum Rohingya selain daripada jumlah kaum mereka yang ramai dibimbangi akan menjejaskan demografi Myanmar. Keadaan ini telah menyebabkan kaum Rohingya menjadi rakyat tanpa warganegara yang terpaksa menagih simpati negara-negara berjiran untuk mengelakkan diskriminasi oleh penduduk Myanmar. Ini kerana berikutan status mereka yang tidak diiktiraf sebagai warganegara di negara sendiri, mereka telah ditindas dengan begitu teruk, dirogol dan dibunuh  sesuka hati tanpa sebarang pembelaan.

Memandangkan negara kita secara kebetulan telah dilantik sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, sewajarnya negara kita bertegas supaya Myanmar menyelesaikan isu pelarian Rohingya ini dengan tegas dan bukannya melepaskan tanggungjawab berkenaan kepada negara lain seperti Bangladesh, Malaysia atau Indonesia untuk menerima dan menjaga kebajikan rakyat mereka. Aung San Suu Kyi yang selama ini berbangga sebagai penerima Anugerah Nobel Keamanan perlu didesak agar menyatakan pendirian berhubung status rakyat Myanmar ini yang dinafikan hak kewarganegaraan hanya kerana perbezaan warna kulit, bahasa dan agama. Jalan penyelesaiannya? Apa kata diikuti contoh formula Malaysia.

Berikan status kewarganegaraan Myanmar kepada penduduk Rohingya ini. Tetapi pada masa yang sama, kaum Burma diberikan kelebihan hak keistimewaan untuk melindungi kepentingan mereka sebagai kaum majoriti berbanding kaum Rohingya. Pemberian hak keistimewaan kepada sesuatu sesuatu kaum ini walaubagaimanapun bukanlah bermaksud kaum yang lain boleh ditindas dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana di negara kita, walaupun kaum Bumiputera seperti Melayu, Orang Asli, Dayak Sarawak, Kadazan-Dusun-Murut dan sebagainya diberikan hak keistimewaan dan kelebihan berbanding kaum-kaum lain, namun hak kaum-kaum bukan bumiputera tetap dihormati dan dilindungi. Sebagai contoh, sehingga kini Kerajaan Pusat masih bertegas mempertahankan kewujudan sekolah vernakular bersama-sama akhbar bukan berbahasa Melayu dan persatuan-persatuan suku kaum Cina bagi menghormati hasrat kaum minoriti keturunan imigran yang masih kental ingin mempertahankan warisan budaya dan bahasa asal nenek moyang mereka.


 

Oleh itu, kepada pihak-pihak yang seringkali gemar mengapi-apikan isu perkauman dengan mendakwa mereka warganegara kelas kedualah, ketigalah, dan sebagainya, ingatlah bahawa negara Malaysia yang tercinta ini ditubuhkan dan dibangunkan atas dasar semangat persaudaraan, perjanjian persefahaman dan tolak ansur antara kaum. Sekiranya benar mereka dilayan sebagai warganegara kelas kedua selama ini, sudah tentu mereka senasib dengan kaum Rohingya yang terapung-apung di lautan menanti ehsan negara-negara asing yang sudi menerima kehadiran mereka. Sedangkan realitinya di Malaysia, jika dilihat pada senarai bilionair di negara ini, majoritinya adalah terdiri daripada kaum bukan Bumiputera!

Walau apa pun, penyelesaian yang dicadangkan dalam artikel ini bagi mengatasi isu masalah pelarian Rohingya ini tetap akan tinggal cadangan sahaja, kerana seperti kata mendiang Tun V.T. Sambathan, tiada bangsa lain di dunia ini yang bertoleransi seperti bangsa Melayu di Malaysia yang sanggup menerima jutaan rakyat imigran yang berbeza bangsa, bahasa dan agama sebagai rakyat negara mereka dan hidup bersama secara perkongsian kuasa.

 

Keturunan Makassar, Bukan Bugis

$
0
0
Sebatang jalan yang menghubungkan Kota Makassar dengan Kabupaten Gowa di Sulawesi Selatan mengabadikan nama Tun Abdul Razak. Papan tandanya turut ditulis dalam ejaan Lontara




Jika ditanya pada kelompok generasi emas di negara kita berkenaan dengan mantan Perdana Menteri yang ke-2, majoriti daripada mereka akan menyanjung tinggi kepimpinan Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Allahyarham Tun Abdul Razak dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat teliti dan cermat dalam membelanjakan peruntukan Kerajaan semasa menjadi Perdana Menteri. Selain daripada itu, beliau juga dihormati di kalangan penjawat awam kerana tidak akan sewenang-wenangnya menyalahkan mana-mana pihak sebagai ‘kambing hitam’ sekiranya berlaku sebarang kelemahan dalam urus tadbir negara. Sifat tegas tetapi mesra dan down to earth beliau dalam berurusan dengan rakyat jelata inilah yang menyebabkan beliau mendapat sokongan meluas sehingga digelar sebagai Bapa Pembangunan. 
 
Sikap prihatin Allahyarham Tun Abdul Razak terhadap situasi sebenar kesusahan rakyat sewaktu negara masih diperingkat awal kemerdekaan dahulu sebenarnya telah dibentuk sejak beliau kecil lagi. Dikhabarkan sewaktu masih bersekolah, beliau sanggup berkaki ayam daripada berkasut agar rakan-rakannya yang rata-ratanya datang daripada kalangan keluarga miskin dan berkaki ayam ke sekolah tidak berasa terasing dengannya. Walaupun sebenarnya allahyarham Tun Abdul Razak berkemampuan kerana merupakan anak kepada Orang Kaya Indera Shahbandar ke-9 iaitu Allahyarham Dato’ Hussein bin Muhammad Taib. 
 
Gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar merupakan satu gelaran bangsawan di Negeri Pahang yang boleh dilantik secara turun temurun kepada pewarisnya. Selain itu, allahyarham Tun Abdul Razak juga dikatakan waris keturunan Raja Gowa ke-19 iaitu I Mappadulu Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Jalil Tuminanga ri Lakiyung,yang memerintah Kerajaan yang berlokasi di Sulawesi Selatan pada tahun 1677-1709.  
 
Berhubung status beliau yang berketurunan daripada Raja Gowa inilah yang menyebabkan penulis ingin memberikan pandangan berbeza bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak sebenarnya berdarah campuran Makassar, dan bukannya Bugis. Ini kerana Kerajaan Gowa merupakan salah sebuah Kerajaan etnik (atau suku dalam Bahasa Indonesia) Makassar. Di Sulawesi Selatan, Kerajaan suku Makasar adalah Gowa dan Tallo, sementara Kerajaan-kerajaan suku Bugis yang pernah wujud pula adalah seperti Bone, Soppeng, Wajo dan Luwu. Di negara kita, masyarakat secara umumnya memang akan melabel semua keturunan Melayu Anak Dagang yang mempunyai darah campuran dari Sulawesi sebagai Bugis. Namun begitu, di Indonesia, Bugis dan Makassar merupakan dua kelompok etnik yang berbeza. Rujukan ini juga boleh dibuat dalam buku Ensiklopedi Suku Bangsa di Indonesia susunan Zulyani Hidayah (1997) terbitan LP3ES.

Sensus (Bancian) Republik Indonesia Tahun 2010 yang mengasingkan suku Bugis dengan suku Makassar sebagai dua etnik yang berbeza

 



Sedikit kisah menarik berkenaan dengan sejarah Raja-raja Gowa. Dalam senarai Raja-raja Gowa, terdapat seorang rajanya yang pernah dipaksa untuk turun daripada takhta akibat desakan rakyatnya iaitu I Tepu Karaeng Daeng Parabbung. Raja ini menaiki takhta Kerajaan dalam usia yang amat muda. Baginda memerintah sesuka hati dengan tindakannya banyak mendatangkan kesusahan kepada rakyat serta memberikan kerugian kepada negerinya. Tindakan demi tindakan Raja Gowa berkenaan yang tidak lagi mampu diterima oleh rakyatnya menyebabkan mereka akhirnya bangun untuk melakukan pemberontakan. I Tepu Karaeng bukan sahaja terpaksa turun daripada takhtanya, malahan lebih malang turut dibuang negeri ke Luwu hingga baginda digelar sebagai Karaeng Tunipasulu yang bermaksud ‘Raja yang diusir dari negerinya’. Sementara Raja Gowa yang terkenal pula tidak lain dan tidak bukan adalah Sultan Hasanudin yang masyhur dengan keberaniannya menentang penjajah Belanda.


 

 


Oleh yang demikian, sekiranya terdapat waris Allahyarham Tun Abdul Razak yang kurang arif mengenai sejarah dan berbangga mengatakan dirinya sebagai berdarah Bugis, mungkin kita boleh menegur dan memaklumkan kepadanya bahawa keturunan Raja Gowa sebenarnya adalah dari suku (etnik) Makassar!

Pulau Timor dan Kaitannya Dengan Melaka

$
0
0




Mungkin ramai yang tidak maklum, di sebuah wilayah kecil yang terdapat di pulau Timor Barat, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, yang bersempadan dengan negara Timor Leste, terdapat sebuah Kabupaten yang bernama Malaka. Mendengar namanya sahaja sudah seakan-akan nama Negeri Melaka. Apa yang menarik adalah nama Kabupaten Malaka dipulau Timor ini memang berkait dengan Negeri Melaka iaitu berdasarkan lagenda sejarah penduduknya.

Di wilayah Kabupaten ini, kebanyakan penduduknya adalah etnik/suku Tetun. Tradisi lagenda yang dipegang oleh masyarakat di sini adalah mereka merupakan waris keturunan daripada ‘Sinan Mutin Melaka’, iaitu pedagang berkulit cerah yang datang dari Melaka. Sekumpulan pedagang ini dikatakan belayar dari Melaka bagi mencari penghidupan baru. Dengan membawa pelbagai barangan suci dan berharga dari tanahair mereka, kapal mereka akhirnya sampai ke selatan Belu. Pendatang ini kemudian mengalahkan penduduk asli yang dikenali sebagai Ema Melus sebelum meluaskan pengaruh mereka di sana.

Para pendatang dari Melaka ini kemudian telah menubuhkan Kerajaan Wehali, Wewiku dan Haitimuk. Kerajaan Wehali, dikenali juga dengan nama Wewiku-Wehali atau Wesei Wehali, diketuai oleh pemerintah yang bergelar ‘Maromak Oan’. Anak kepada kerabat Wehali ini kemudian turut menubuhkan sebuah lagi kerajaan di Fatuaruin dengan pemerintahnya bergelai ‘Liurai’. ‘Maromak Oan’ lebih berperanan sebagai simbol spiritual sementara ‘Liurai’ melaksanakan urusan pemerintahan.

Penulis pernah bertanya kepada Dr. Hans Hägerdal, seorang Profesor Madya dalam bidang sejarah dari School of Cultural Sciences, Linnaeus University, Växjö, Sweden, yang juga penulis buku 'Lords of the Land, Lords of the Sea' yang banyak menghuraikan sejarah berkaitan Pulau Timor. Persoalan penulis adalah, disebabkan ‘Sinan Mutin Melaka’ ini dikatakan sebagai datang dari Melaka, adakah terdapat kemungkinan Kerajaan-kerajaan yang ditubuhkan di pulau Timor ini merupakan kalangan kerabat Kesultanan Melaka yang terpaksa mengundurkan diri akibat serangan Portugis? Walau bagaimanapun, beliau menafikan pandangan penulis.

Beliau menjelaskan lagenda masyarakat di sana tidak ada menyatakan bahawa kedatangan pedagang dari Melaka ini disebabkan oleh serangan Portugis. Selain itu, terdapat juga kisah lain yang menyatakan bahawa masyarakat Belu sebenarnya merupakan keturunan dari Jailolo, kepulauan Maluku. Berkemungkinan lagenda yang menyatakan bahawa nenek moyang mereka datang dari Melaka adalah disebabkan status Melaka yang amat tinggi di Asia Tenggara pada zaman silam berbanding dengan sejarah realiti sebenar. Jika ada pun penghijrah dari Melaka, berkemungkinan hanya dalam jumlah yang kecil sahaja memandangkan Bahasa Melayu dan Bahasa Tetun juga tidak berkait rapat.

Tetapi beliau juga ada memberikan satu maklumat menarik bahawa seorang penulis Belanda yang bernama H.J. Grijzen pada tahun 1904 mendapati bahawa adat orang-orang Melaka dan penduduk selatan Belu adalah sama di antara satu sama lain. H.J. Grijzen merupakan penulis buku 'Mededeelingen omtrent Beloe of Midden-Timor'.

Pada tahun 1916, para pemerintah Wehali, Wewiku, Haitimuk, Fatuaruin, Lalekun, Dirma dan Mandeu telah sepakat untuk menyatukan wilayah-wilayah mereka dalam suatu Swapraja (Kerajaan). Nama yang dipilih bagi Swapraja mereka adalah Malaka! Pada 7 Januari 1916, Residen Timor mengajukan surat usulan pembentukan Swapraja Malaka. Walau bagaimanapun, pada tahun 1924, penjajah Belanda telah menghapuskan Swapraja Malaka yang hanya sempat diperintah oleh dua orang Raja dan seterusnya menggabungkannya dengan Swapraja Belu Tasifeto membentuk Swapraja Belu.

Setelah Indonesia mencapai kemerdekaan, kesemua Kerajaan dan Kesultanan yang ada (kecuali Kasultanan Yogyakarta di pulau Jawa) telah dihapuskan memandangkan Indonesia telah memilih untuk menjadi sebuah republik. Oleh yang demikian, status Swapraja Belu kemudian telah diubah menjadi Kabupaten Belu.

Walau bagaimanapun, pada penghujung tahun 2012 dan awal tahun 2013 yang lalu, Kabupaten Belu telah dipecahkan dan nama Malaka sebagai sebuah Kabupaten di pulau Timor kembali timbul dalam peta Indonesia pada hari ini.


Swapraja : Wilayah jajahan Belanda di Hindia Timur yang berbentuk monarki dan diperintah oleh Raja-raja tempatan.

Kabupaten : Seperti Residensi/Bahagian di Negeri Sabah dan Sarawak. Diperintah oleh seorang Bupati.

Kenapa Singapura Lebih Maju?

$
0
0


Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Namun begitu, masih kedengaran kata-kata segelintir rakyat kita yang mempersoalkan mengapa negara kita masih ketinggalan berbanding negara-kota tersebut. Hujah yang biasa dimainkan pada setiap tahun, Singapura tidak mempunyai sumber asli tetapi mampu lebih maju berbanding negara kita.

Membandingkan Malaysia dengan Singapura adalah tidak adil kerana ianya bukanlah perbandingan epal dengan epal. Benar, Singapura tidak mempunyai sumber asli. Tetapi Republik berkenaan juga bukanlah wujud mulai tahun 1965 dengan hanya mempunyai perkampungan nelayan yang dihuni bot-bot tunda dan ditumbuhi pokok-pokok kelapa semata-mata. Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak merdeka sebenarnya telah mewarisi sebuah koloni jajahan Mahkota British yang telah ditadbir dan dijaga rapi oleh penjajah British. Selain menjadi pusat pentadbiran iaitu bagi negeri-negeri Selat (Straits Settlement) serta pangkalan tentera laut British bagi wilayah Asia timur, Singapura juga merupakan pusat pentadbiran ‘de facto’ British bagi jajahannya di semenanjung Tanah Melayu dan Borneo. Disebabkan lokasinya yang strategik, Singapura telah berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan dan juga pusat kewangan lebih awal sebelum kemerdekaannya. Ketika Singapura mendapat taraf pemerintahan sendiri, menyertai Malaysia dan kemudian disingkir keluar, Singapura memang telah sedia maju berbanding Malaya.

Segelintir rakyat negara kita yang suka membuat perbandingan juga gemar meminta agar kita mencontohi Singapura yang berjaya mewujudkan rakyat yang bersatu berlandaskan prinsip meritokrasi untuk berjaya. Tetapi bagi penulis, mereka ini (rakyat kita yang gemar membuat perbandingan) sebenarnya hipokrit kerana tidak pula meng’highlight’kan bagaimana kaedah yang digunakan Singapura untuk mewujudkan perpaduan dan kestabilan politik kerana sedar perkara tersebut akan ‘backfire’ mereka kembali. Sekiranya benar mereka ikhlas meminta negara kita untuk mencontohi Singapura agar lebih maju, terlebih dahulu mereka harus meneliti beberapa perkara berikut :


1. Mewujudkan Sekolah Satu Aliran

Walaupun kaum majoriti di Singapura adalah Cina, tetapi pemimpin agung mereka iaitu Lee Kuan Yew dengan tegas telah bertindak menutup Sekolah-sekolah Vernakular Cina hinggalah kepada Institusi Pengajian Tinggi Cina yang wujud seperti Universiti Nanyang. Namun begitu, perkara inilah yang sering cuba ditutup oleh para pemuja Lee Kuan Yew di negara kita. Dengan hanya mempunyai sekolah satu aliran, republik berkenaan telah berjaya memupuk perpaduan rakyatnya sejak di bangku sekolah lagi agar berfikir dan bersatu sebagai rakyat Singapura.

Tetapi di negara kita, mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular sahaja sudah boleh menyebabkan risiko seseorang politikus kehilangan undi. Sedangkan jika dirujuk keputusan kes PP v Mark Koding, mahkamah telah memutuskan bahawa ‘there is nothing in proviso (a) to Article 152(1) (of the Federal Constitution) to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English’ dan ‘accused is not guilty of sedition when he advocates for the closure of Tamil or Chinese schools’.

Jadi bagaimanakah negara kita mampu mencontohi Singapura untuk mewujudkan rakyat kita yang berfikir dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia sekiranya sejak dibangku sekolah lagi kita telah dididik dan dibesarkan dalam suasana dan pembelajaran yang berbeza-beza?


2. Ketiadaan Pembangkang Yang Kuat

Sejak Singapura disingkirkan dari Malaysia pada tahun 1965, tidak ada seorang pun daripada kalangan parti pembangkang yang berjaya memenangi kerusi di Parlimen Singapura. Oleh yang demikian, pemerintah PAP Singapura dapat memberi tumpuan penuh kepada aspek membangunkan negara tersebut tanpa perlu membazirkan banyak masa melayan karenah politik pembangkang. Hanya sehingga tahun 1981, barulah seorang tokoh pembangkang iaitu J.B. Jeyaratnam mencipta sejarah sebagai pembangkang pertama yang dipilih ke Parlimen Singapura. Namun begitu, menjadi rahsia umum bahawa tokoh-tokoh pembangkang di Singapura tidak memiliki kebebasan mutlak sebagaimana di negara kita dan setiasa berhadapan dengan ancaman saman daripada pemerintah. Agak melucukan apabila republik berkenaan kemudian terpaksa menggubal dasar untuk ‘melantik’ anggota pembangkang menerusi Non-constituency Members of Parliament (NCMPs) pada tahun 1984 dalam memastikan sekurang-kurangnya terdapat 9 anggota pembangkang di Parlimen.

Bandingkan dengan negara kita, berapa banyak masa telah terbuang hanya untuk menjawab persoalan pembangunan sebuah kilang Nadir Bumi yang telah diputarbelitkan kononnya sebuah reaktor nukleur oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab? Begitu juga dengan pembinaan sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru, lapangan terbang antarabangsa baru, litar perlumbaan antarabangsa dan sebagainya ketika cuba dilaksanakan oleh Kerajaan khususnya di era Tun Dr. Mahathir dahulu. Hari ini, pihak yang dahulunya menentang keras pembinaan Jambatan untuk menghubungkan Pulau Pinang dengan Seberang Perai dengan mendakwa ianya sebagai pembaziran, bukan sahaja merasakan dua jambatan sedia ada tidak cukup, bahkan ingin menambah lagi sebuah terowong apabila mendapat kuasa! Jadi tolong berhenti bertanya sebab mengapa negara kita lambat membangun berbanding Singapura!


3. Kaum Majoriti Yang Dominan

Di Singapura, kaum majoritinya iaitu kaum Cina membentuk hampir 75% daripada keseluruhan penduduknya dengan kaum majoriti yang sama ini juga telah menguasai hampir keseluruhan bidang pentadbiran negara, politik serta ekonomi sejak sebelum kemerdekaannya lagi. Oleh yang demikian, Singapura bukanlah sebuah negara ‘berbilang-kaum’ dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Kaum minoriti pribumi seperti Melayu pula telah dilemahkan kuasa politiknya. Menerusi penguatkuasaan sistem Kuota Etnik Kediaman mulai tahun 1989, semua kawasan perumahan awam dipastikan tidak mempunyai penduduk Melayu melebihi 20%, seterusnya menyebabkan tiada satu kawasan Parlimen pun di Singapura yang majoriti pengundinya adalah kaum minoriti. Jangan dilupakan juga bahawa bukan semua rakyat Singapura adalah penduduk asal sebagaimana sewaktu kemerdekaannya. Ini kerana bagi memastikan kaum Cina kekal sebagai majoriti, Singapura sentiasa mengimport ‘bakat’ (talent) yang majoritinya datang dari Hong Kong, Taiwan, Macao dan Republik Rakyat China sendiri atas alasan menjaga ‘keseimbangan’ rakyat republik berkenaan.

Bandingkan dengan keadaan negara kita. Negara kita merupakan sebuah negara yang benar-benar pelbagai kaum kerana jumlah kaum Bumiputera dengan bukan Bumiputera adalah hampir seimbang. Namun begitu, antara Bumiputera dan bukan Bumiputera ini sendiri kita terdiri daripada pelbagai kaum yang sama sekali berbeza bahasa, budaya dan agama antara satu sama lain seperti Melayu, Orang Asli, Dayak Sarawak, Melanau, Kadazan-Dusun-Murut, Bajau, Cina, India dan lain-lain. Namun begitu, pemilikan dan agihan kekayaan penduduknya adalah tidak setara antara kaum. Justeru itu, tidak seperti Singapura, setiap dasar dan polisi pembangunan yang diambil oleh Kerajaan negara kita perlu dilaksanakan dengan cukup berhati-hati dengan mengambil kira sensitiviti semua penduduknya khususnya daripada kumpulan kaum minoriti.



Kesimpulannya, memajukan sebuah bandaraya yang telah sedia membangun tidak boleh disamakan dengan cabaran membangunkan sebuah negara yang benar-benar multi-etnik dan secara geografinya terpisah pula oleh oleh Laut China Selatan. Sekiranya benar kita ingin mencontohi Singapura untuk maju, adakah golongan yang mengaku Malaysian First ini akan menyokong pembentukan Sekolah Satu Aliran? Rasanya mereka sendiri sedar bukan semua acuan pembangunan mengikut model Singapura bersesuaian untuk dilaksanakan di negara kita.

Namun begitu, tidak dinafikan terdapat beberapa aspek yang boleh dipelajari daripada republik berkenaan. Antaranya adalah mewajibkan program kerahan tenaga/khidmat negara bagi melahirkan rakyat yang berdisiplin, dasar dan usaha membasmi amalan rasuah, tegas terhadap institusi yang memanipulasi agama, pembangunan bandar dan perumahan yang terancang dan sebagainya. Namun begitu, dalam memandang kepada kemajuan negara luar, janganlah kita bertindak sehingga ke tahap memburukkan dan menjatuhkan maruah tanahair sendiri.





Baca juga artikel-artikel lama berkaitan Singapura :







Kenapa Iklan Perpaduan Hanya Papar Melayu, Cina & India?

$
0
0



Malaysia selalu dinyatakan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum. Namun begitu, kerap kali istilah ‘berbilang kaum’ ini terperangkap dalam ruang lingkup sempit iaitu hanya meliputi kaum Melayu, Cina dan India semata-mata. Sebagai contoh, gambar perpaduan pelbagai kaum seperti yang disiarkan oleh akhbar The Star di atas. Malahan nama ‘Malaysia’ juga cuba ditafsir semula dengan hanya meliputi kaum Melayu, Cina dan India sahaja dengan meminggirkan kaum-kaum utama yang lain terutamanya dari Sabah dan Sarawak. Sudah sekian lama gambaran perpaduan kaum dengan meminggirkan kaum-kaum dari Sabah dan Sarawak ini berlaku dan perkara ini tidak elok untuk integrasi nasional, malahan tidak mencerminkan semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan!   





Menurut Datuk Mohd Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan, jika dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara kita, kaum-kaum yang ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Melayu dan Orang Asli, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak serta kaum-kaum lain.

Di semenanjung, ‘Orang Asli’ merupakan terma umum yang merujuk kepada tiga (3) kelompok pribumi iaitu Semang (Negrito), Senoi (Semai, Temiar, Jah Hut, Che Wong, Mah Meri) dan Melayu Asli / Aborigine Malay (Kuala, Kanaq, Jakun dan Temuan). Sementara ‘Melayu’ di semenanjung merujuk kepada Melayu Anak Negeri (Melayu Kelantan, Melayu Kedah dsb) serta Melayu Anak Dagang iaitu Melayu yang mempunyai campuran darah dengan kaum atau etnik Austronesia yang lain (Melayu-Jawa, Melayu-Bugis dsb).

‘Bumiputera Sarawak’ pula terdiri daripada Iban, Bidayuh, Melayu Sarawak, Melanau dan Orang Ulu (Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan dsb). Sementara ‘Bumiputera Sabah’ terdiri daripada Kadazan-Dusun-Murut (KDM – termasuk etnik-etnik kecil yang lain seperti Rungus dsb) dan Bumiputera Islam seperti Bajau, Melayu Brunei, Bugis, Suluk dsb. ‘Kaum-kaum lain’ yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kelompok bukan Bumiputera seperti Cina, India, Sikh, Ceylonese dan sebagainya.

Mungkin ramai yang masih tidak menyedari pada 30 – 31 Mei dan 1 - 2 Jun setiap tahun, rakan-rakan dan saudara kita di Sabah menyambut Tadau Kaamatan sementara rakan-rakan dan saudara kita di Sarawak menyambut Hari Gawai. Namun begitu, berbanding dengan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina ataupun Deepavali, boleh dikatakan tidak ada atau amat jarang sekali iklan-iklan komersial perayaan yang berkaitan dengan Hari Gawai atau Pesta Kaamatan disiarkan di kaca televisyen. Jika ada pun, rasanya hanya sekali sahaja, iaitu Maybank pernah menyiarkan iklan seorang anak Sarawak di luar negara berbahasa Iban dengan ibunya yang berada di kampung. 

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya iklan-iklan perpaduan yang ingin memaparkan perpaduan kaum seharusnya memaparkan realiti kaum dari tiga wilayah yang membentuk Malaysia iaitu semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Gambaran iklan seperti ‘Malaysia Truly Asia’ yang memaparkan kaum Melayu, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain adalah lebih bertepatan dan selari dengan apa yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana disebabkan jasa dan pengorbanan pemimpin serta masyarakat dari Sabah dan Sarawak-lah sebenarnya yang membolehkan perpaduan negara kita kekal bertahan sehingga ke hari ini.





Perbezaan Gelaran Tun, Tan Sri dan Datuk @ Dato’

$
0
0


Baru-baru ini, penulis ada terbaca sebuah post yang dikongsikan bertajuk “Perbezaan Pangkat Dato, Dato Seri, Tan Sri, Tun dan Sebagainya” di sebuah blog. Sedikit pembetulan kepada penulisnya, ianya adalah gelaran dan bukannya pangkat. Sebahagian besar kandungan artikel tersebut pula hanya copy pastesenarai Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Persekutuan semata-mata tanpa ada penerangan dengan lebih lanjut.

Jadi penulis merasakan, sebahagian besar pembaca mungkin masih kurang arif mengenai maklumat dan protokol berkaitan gelaran kehormat yang digunapakai di negara kita. Jadi di sini penulis kongsikan sedikit pengetahuan yang ada secara ringkas kepada pembaca. Mungkin bermanfaat sebagai pengetahuan am dan info tambahan.


1.         Mana Satu Ejaan Yang Betul? Datuk atau Dato’?

Persoalan ini sangat popular. Sebenarnya kedua-dua ejaan tersebut betul iaitu bergantung kepada Darjah Kebesaran yang dianugerahkan. Bagi Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Melaka, ejaan gelarannya adalah Datuk. Sementara penerima Darjah Kebesaran selain daripada 5 negeri/wilayah di atas, ejaan gelarannya adalah Dato’.

Walau bagaimanapun, kebiasaannya di media massa seperti akhbar dan televisyen, ejaan ‘Datuk’ digunakan secara umum. Ini kerana wartawan tidak mempunyai banyak masa untuk menyemak jenis Darjah Kebesaran yang diterima oleh setiap individu yang memakai gelaran berkenaan.     

Info tambahan : pada hari ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan tambahan Darjah Kebesaran Negeri yang baharu dan ejaan gelarannya adalah Dato tanpa tanda ( ' ) dihujungnya.


2.         Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” Hanya Dari Persekutuan
Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” merupakan Darjah Kebesaran Persekutuan yang hanya dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. “Tun” merupakan gelaran anugerah tertinggi negara dan lazimnya dikurniakan kepada Yang Dipertua Negeri, Ketua Hakim Negara, dan mantan Perdana Menteri. Isteri kepada "Tun" akan bergelar "Toh Puan". Panggilan hormat bagi penerima anugerah ini dan pasangannya adalah Yang Amat Berbahagia (YABhg).  Bagi “Tan Sri” pula, ia merupakan gelaran kedua tertinggi dan panggilan hormat bagi anugerah ini sama seperti “Datuk” iaitu Yang Berbahagia (YBhg.). Isteri kepada "Tan Sri" akan bergelar "Puan Sri".


3.         Panggilan Hormat Bagi Darjah Kebesaran “Datuk” atau “Dato’” Kurniaan  Negeri

Secara umumnya, panggilan hormat bagi semua penerima Datuk atau Dato’ dari Persekutuan mahupun Negeri adalah sama iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk / Dato' kecuali di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang.

Johor : Di Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Berhormat (YB) Dato' iaitu seperti panggilan hormat yang digunakan oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Pahang : Di Pahang, bagi para penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Dato' Sri atau Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Hormat (YH) Dato' Sri / YH Dato'.


4.         Gelaran Dato’ Hanya Untuk Penerima Lelaki, Bukan Wanita

Benar. Tetapi hanya di Negeri Johor dan Selangor sahaja. Di kedua-dua negeri ini, gelaran Dato’ hanya digunakan oleh penerima lelaki. Sekiranya yang menerima Darjah Kebesaran tersebut merupakan seorang wanita, gelaran yang digunakan adalah Datin Paduka (termasuk juga Datin Paduka Seri dan Datin Paduka Setia di Selangor). Oleh yang demikian, di Johor dan Selangor, wanita yang bergelar Datin Paduka merupakan individu yang menerima sendiri Darjah Kebesaran tersebut dan bukannya bermaksud pasangan mereka mempunyai gelaran Dato’ Paduka.


5.         Tiada ‘Datin’ Untuk Isteri Dato’ di Terengganu

Secara lazimnya, isteri kepada individu yang bergelar Datuk atau Dato’ akan memakai gelaran Datin. Namun begitu, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, isteri kepada Dato’ akan memakai gelaran To’ Puan (jangan keliru dengan gelaran ‘Toh Puan’ yang digunakan oleh isteri kepada suami yang bergelar ‘Tun’).

Info tambahan : Di Negeri Johor, gelaran rasmi bagi isteri yang suaminya bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukannya menggunakan namanya sendiri.  


6.         Sarawak Antara Negeri Yang Banyak Gelaran Kebesaran Berbeza

Di Negeri Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama mahupun Kelas Kedua, kedua-duanya membawa gelaran yang sama iaitu YB Dato’. Begitu juga dengan Negeri Kelantan yang menggunakan satu sahaja gelaran iaitu YBhg. Dato'. Tetapi di Negeri Sarawak, terdapat tujuh (7) Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza-beza iaitu Pehin Sri, Datuk Patinggi, Datuk Amar, Dato Sri, Datuk, Dato dan Datu ('Datu' di Sarawak merupakan gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun temurun oleh sesetengah keluarga di Sabah).

Antara gelaran yang digunakan di negeri-negeri lain adalah seperti berikut :

Kedah : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Diraja, Dato’ Seri Wira, Dato’ Seri, Dato’ Paduka, Dato’ Diraja, Dato’ Wira, Dato’
Selangor : Dato' Seri, Dato' Setia, Dato’
Perak : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Seri Panglima, Dato’ Seri, Dato’ Pahlawan, Dato’
Pahang : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Sri, Dato’
Negeri Sembilan : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Perlis : Dato' Seri Diraja, Dato' Seri Setia Diraja, Dato' Seri, Dato' Paduka, Dato' Wira, Dato' Pahlawan, Dato’
Pulau Pinang : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Sabah : Datuk Seri Panglima, Datuk
Melaka : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk
Wilayah Persekutuan : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk


7.         Hanya Dato’ Brunei Gelaran Dari Luar Negara Yang Diiktiraf Kerajaan

Darjah Kebesaran yang diiktiraf oleh Kerajaan adalah yang dikurniakan oleh Ketua-ketua Negara Asing yang berdaulat, sembilan (9) DYMM Raja-raja Melayu serta empat (4) Yang Dipertua Negeri sahaja. Oleh yang demikian, hanya Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sahaja merupakan satu-satunya dari luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Oleh itu, gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh individu yang mengaku dirinya sebagai waris keturunan Maharaja Nusantara, Raja Majapahit, Sultan Negeri Pasir Berdengung, Raja Negeri Isketambola dan sebagainya merupakan satu penipuan dan pemberi serta penerima yang menyalahgunakan gelaran kebesaran tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.


Melayu Sebenarnya Suku Bangsa ke-3 Terbesar di Indonesia

$
0
0



Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, definisi ‘Melayu’ di negara kita adalah berbeza dengan negara jiran kita iaitu Indonesia. Di negara kita, ‘Melayu’ dirujuk sebagai satu rumpun atau ras yang menghimpunkan secara bersama Melayu Jati/anak negeri (Melayu Kelantan, Melayu Kedah dan sebagainya), Melayu anak dagang (Melayu-Jawa, Melayu-Bugis dan sebagainya) serta Melayu Peranakan/kacukan (Melayu-Arab, Melayu-Mamak dan sebagainya) serta didefinisikan dengan jelas di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya di Indonesia yang dihuni oleh ratusan kumpulan etnik (atau ‘suku bangsa’ dalam Bahasa Indonesia), Melayu merupakan salah satu daripada kaum minoriti yang wujud. Jika dirujuk kepada maklumat bancian rasmi yang terdapat di dalam Sensus Penduduk Indonesia Tahun 2010, suku bangsa Melayu merupakan yang ke-10 terbesar iaitu sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Jadual di bawah ini:


Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang menghairankan penulis apabila meneliti laporan berkenaan beberapa tahun dahulu. Perkara pertama, Melayu Palembang dan Melayu Jambi tidak lagi dikategorikan di bawah suku bangsa Melayu sebagaimana di dalam sensus tahun 2000 sebaliknya hanya disebut sebagai ‘Palembang’ dan ‘Jambi’ sahaja dan masing-masing diletakkan di bawah kumpulan ‘Suku Asal Sumatera Selatan’ dan ‘Suku Asal Jambi’ bersama-sama etnik minoriti lain yang terdapat di kedua-dua provinsi berkenaan.


Begitu jugal halnya kepada Melayu Musi Sekayu, Melayu Bangka, Melayu Belitong, Melayu Enim dan Melayu Pegagan yang sebelum ini ada disebut di dalam Sensus Tahun 2000 tetapi tidak lagi dinyatakan sebagai Melayu di dalam Sensus Tahun 2010.

Perkara yang paling melucukan adalah apabila Melayu Kalimantan/Borneo diletakkan di bawah kumpulan Dayak dan bukannya Melayu. Dapat dilihat di bawah ini apabila Melayu Pontianak dan Melayu Sambas dinyatakan sebagai ‘Dayak Melayu Pontianak’ dan ‘Dayak Melayu Sambas’ bersama-sama dengan ratusan sub-etnik Dayak yang lain walaupun mereka bukannya kaum Dayak.   

 
Walau bagaimanapun, penulis akhirnya berjaya menemui kajian yang telah dibuat oleh sarjana-sarjana Indonesia sendiri yang telah meneliti laporan Sensus Penduduk Indonesia bagi tahun 2000 dan 2010. Berdasarkan kepada analisis data yang telah dibuat, mereka menyimpulkan bahawa etnik Melayu yang termasuk juga sub-etnik di bawahnya sebenarnya merupakan suku bangsa ketiga terbesar di Indonesia iaitu selepas kaum Jawa dan kaum Sunda.


Jika etnik Minangkabau diasingkan daripada etnik Melayu di dalam sensus berkenaan, perkara tersebut masih boleh difahami walaupun Minangkabau juga sebenarnya merupakan salah satu sub-etnik Melayu. Tetapi rasanya tidak sesuai pula apabila sub-etnik Melayu yang lain seperti Melayu Palembang, Melayu Jambi, Melayu Pontianak dan sebagainya dikeluarkan daripada kategori Melayu. Adalah menjadi satu kebiasaan untuk orang Melayu memperkenalkan diri mengikut nama negerinya. Sebagai contoh, ‘saya orang Kelantan’, ‘saya orang Terengganu’, dan sebagainya. Pengenalan ini walau bagaimanapun lebih sesuai dirujuk sebagai sub-etnik kerana mereka masih lagi berbangsa Melayu.      
 
Selain daripada itu, etnik-etnik pribumi beragama Islam di Sumatera dan Kalimantan yang bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek daerah/wilayah masing-masing juga masih boleh dikategorikan sebagai ‘Melayu’. Contohnya, Melayu Sanggau, Melayu Berau, dan sebagainya. Bukankah beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu merupakan dua petunjuk utama kepada identiti bangsa Melayu?


Jika suku bangsa Batak yang meliputi kesemua lapan (8) sub-etnik boleh diletakkan di bawah satu kategori kumpulan yang sama iaitu ‘Batak’ hingga dinyatakan sebagai suku bangsa ke-3 terbesar dalam laporan rasmi Sensus Penduduk Indonesia 2010, mengapa pula suku bangsa Melayu tidak boleh diletakkan sekelompok secara bersama? Mungkin boleh dipertimbangkan agar bagi sensus yang akan datang, dua (2) kumpulan utama suku bangsa Melayu di Indonesia diletakkan di dalam sensus berkenaan iaitu Melayu Pesisir (coastal Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di Sumatera dan Melayu Kalimantan (Bornean Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di Kalimantan. Kedua-dua istilah ini adalah lebih tepat dan sesuai untuk digunakan.


Bibliografi :

1.         Sensus Penduduk Indonesia Tahun 2010

2.      Aris Ananta, Evi Nurvidya Arifin, M Sairi Hasbullah, Nur Budi Handayani, Agus Pramono (2015) Demography of Indonesia's Ethnicity, ISEAS

3.     Leo Suryadinata, Evi Nurvidya Arifin, Aris Ananta (2003) Indonesia's Population: Ethnicity and Religion in a Changing Political Landscape, ISEAS

Perdana Menteri Bukan Melayu?

$
0
0






Baru-baru ini, Malaymail Onlinedengan ghairah menyiarkan berita mengenai ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang dipetik sebagai berkata Republik berkenaan akan meminda perlembagaannya bagi memastikan Presiden Singapura yang akan datang dapat dilantik dikalangan etnik minoriti. Artikel tersebut kemudian terus memfokuskan kepada persoalan sama ada Malaysia bersedia untuk menerima Perdana Menteri (PM) bukan Melayu.

Sama ada penulisnya memang jahil atau pura-pura tidak tahu, membandingkan jawatan Presiden Singapura dengan PM Malaysia adalah tidak tepat. Jawatan Presiden Singapura merupakan ketua negara yang tidak mempunyai kuasa eksekutif sebagaimana PM Singapura. Dan bagi yang memiliki ilmu sejarah, tiada apa-apa yang baru dan menarik pun mengenai pengumuman tersebut. Ini kerana daripada tujuh (7) orang Presiden Singapura, empat (4) presiden terdahulu sememangnya daripada etnik minoriti iaitu seorang Melayu, seorang Serani dan dua (2) India. Selepas Singapura keluar dari Malaysia, tiada lagi Melayu selain Yusuf Ishak (Presiden pertama ketika Singapura masih dalam Malaysia) yang berpeluang menjadi Presiden Singapura sehingga kini walaupun etnik Melayu merupakan etnik kedua terbesar di Singapura.         

Sekiranya penulisnya jujur ingin bertanya sama ada Malaysia bersedia menerima PM bukan Melayu, dia sepatutnya memeriksa sama ada Singapura telah bersedia menerima PM bukan Cina. Ini barulah perbandingan epal dengan epal. Sejak kemerdekaannya, Singapura telah mempunyai tiga (3) orang PM yang kesemuanya daripada etnik Cina. Dan jika diteliti rekod ucapan Lee Hsien Loong sendiri, beliau ada menyatakan bahawa Singapura tidak bersedia untuk menerima PM bukan Cina.


 Artikel tersebut juga menyerang parti-parti berasaskan kaum terutamanya UMNO dan PAS yang dinyatakan menghadkan keahlian berdasarkan etnik. Mungkin sekali lagi penulisnya tidak sedar bahawa selaras dengan perkembangan zaman, parti-parti berasaskan Melayu seperti UMNO dan PAS telah lama membuka keahlian yang tidak terhad kepada kaum Melayu semata-mata. UMNO yang kini melebarkan sayap ke Sabah telah lama membuka pintu keahliannya kepada etnik-etnik pribumi termasuk yang bukan Islam di Negeri tersebut. Sementara PAS telah mewujudkan sayap bukan Islam dalam parti berkenaan.

Walaupun hampir separuh parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN) adalah berasaskan kaum, namun peluang etnik minoriti untuk memegang jawatan Ketua Eksekutif dalam pentadbiran Kerajaan Negeri adalah jauh lebih terbukti berbanding dengan parti DAP. Sebagai contoh, di Negeri Sarawak, dua (2) daripada lima (5) Ketua Menterinya merupakan etnik Melanau serta memegang rekod paling lama menjadi Ketua Menteri. Etnik Melanau hanya meliputi kira-kira hanya 5% sahaja daripada keseluruhan penduduk Sarawak dan merupakan minoriti dalam minoriti. Tetapi pernahkah perkara ini diberikan pujian oleh DAP? Sementara PAS telah lama melantik ahlinya yang berketurunan Cina sebagai salah seorang EXCO dalam Pentadbiran Kerajaan Kelantan. Jauh lebih terkehadapan berbanding dengan parti DAP yang langsung tidak ada melantik ahli Bumiputeranya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bandingkan juga dengan pemilihan DAP Selangor seperti di atas. Gobind Singh mendapat undi yang tertinggi, tetapi Tony Pua yang menduduki undi ke-8 tertinggi yang dilantik sebagai Pengerusi DAP Selangor. Tidak dilupakan jugaseorang perwakilan DAP iaitu Shamsher Singh Thind pernah mempersoalkan kenapa Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP menggunakan Bahasa Mandarin dan bukannya Bahasa Melayu dalam Persidangan DAP sedangkan bukan semua rakyat Malaysia memahami Bahasa Mandarin. Jadi apalah gunanya sebuah parti membuka pintu keahliannya kepada semua etnik tetapi dalam polisi pentadbirannya hanya mengutamakan satu kaum sahaja? Apa gunanya sebuah parti mengaku sebagai 'Malaysian First' tetapi di dalamnya masih tebal dengan sikap ethno-centricdan chauvinist yang lebih mengutamakan etnik daripada kepentingan negara sendiri?        





Mendiang Karpal Singh semasa hayatnya dilaporkan pernah menyatakan hasratnya akan terus berjuang untuk seorang Perdana Menteri bukan Melayu. Tetapi amat malang baru memerintah sebuah negeri pun, partinya yang mengaku sebagai mengutamakan meritokrasi dan buta warna kulit ini telah gagal memberikan peluang yang sewajarnya kepada salah seorang Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang dari etnik minoriti yang telah dua penggal menjadi TKM untuk dipertimbangkan sebagai pilihan utama untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang seterusnya.      

Mungkin selepas ini Malaymail Online lebih sesuai menyiarkan artikel 'Is Penang Ready For Non-Chinese CM?'. Ada berani?



Catatan Perjalanan : Republik Korea

$
0
0
Dihadapan tugu King Sejong The Great

Penulis baru sahaja menamatkan lawatan ke Republik Korea pada minggu lepas. Republic of Koreasebenarnya merupakan nama rasmi bagi negara Korea Selatan. Sementara nama rasmi bagi negara saudara jiran mereka di utara ialah Democratic People’s Republic of Korea. Ya, walaupun jiran mereka di utara sebenarnya berfahaman Komunis dan diperintah secara autokratik oleh satu keluarga sahaja secara turun temurun, namun mereka tanpa rasa bersalah meletakkan perkataan ‘Democratic’ pada negara mereka. Mengingatkan penulis kepada sebuah parti politik chauvinist di negara kita.

Minat untuk melawat Korea sebenarnya bermula selepas mendengar satu ceramah setahun yang lalu mengenai kemampuan Korea yang merupakan satu-satunya negara Asia yang berupaya untuk menandingi kemajuan negara Jepun. Dalam ceramah berkenaan, ada diceritakan mengenai usaha Korea menjemput jurutera-jurutera pakar dari Jepun dengan upah yang amat tinggi pada penghujung tahun 90-an untuk melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta teknologi mereka. Jika negara kita pernah mengadakan ‘Dasar Pandang ke Timur’ dengan menjadikan negara Jepun sebagai model contoh, Korea juga mempunyai dasar yang seakan-akan sama, tetapi mereka tidak sekadar memandang kepada Jepun, tetapi berpegang kepada prinsip ‘Do Better Than Japan’.

 

Republik Korea mempunyai penduduk melebihi 50 juta orang, iaitu lebih ramai berbanding penduduk Malaysia. Tetapi keluasan negara mereka adalah lebih kecil daripada semenanjung Malaysia. Sepanjang pengembaraan di Korea, penulis dapat melihat betapa kecilnya keluasan kedai-kedai dan kediaman mereka berbanding dengan negara kita. Memandangkan keadaan geografi Korea adalah berbukit bukau tetapi kepadatan penduduknya amat tinggi, kebanyakan bangunan termasuk kediaman terpaksa dibina meninggi ke atas. Masyarakat Korea suka memakan sayur-sayuran yang dijeruk seperti Kimchi bersama-sama nasi, dan mereka hanya meminum air masak yang disejukkan sewaktu makan.
 
 

 
Pada pengamatan penulis, masyarakat Korea mempunyai jati diri kebangsaan yang amat tinggi. Mungkin juga secara kebetulan pada hujung minggu berkenaan beberapa festival diadakan, di kiri dan kanan jalanraya dipenuhi oleh orang awam yang berpakaian tradisional Hanbok. Paling menarik, mereka menggunakan faktor sejarah untuk menaikkan jati diri masyarakat mereka. Pemandu Pelancong di Istana Gyeongbok tidak henti-henti menceritakan sejarah survival perjuangan bangsa Korea menentang bangsa Jepun yang cuba menjajah mereka, serta peperangan dengan jiran komunis mereka di utara yang secara teknikalnya masih berlangsung sehingga ke hari ini.
 
Bersama Pengawal Istana Gyeongbok

 
Bersebelahan di luar Istana Gyeongbok, berdiri megah dua tugu tokoh Korea yang dijadikan sebagai simbol kebangkitan bangsa Korea iaitu Raja Sejong Yang Agung (Sejong The Great) dan Laksamana (Admiral) Yi Sunshin. Raja Sejong merupakan Raja Korea yang bertanggungjawab mencipta tulisan Korea iaitu Hangul yang menjadi pemangkin kepada pembangunan bangsa Korea, sementara Laksamana Yi Sunshin pula tidak pernah tewas dalam pertempuran dan bertanggungjawab mengalahkan angkatan tentera Jepun yang cuba menawan negara mereka walaupun bilangan tentera Jepun adalah jauh lebih besar berbanding dengan tentera Korea.

 
Tugu Admiral Yi Sunshin

 
Namun begitu, masyarakat Korea tidak ‘merindui’ sistem monarki mereka. Mereka tidak mengambil peduli pun dimana waris raja terakhir mereka berada dan tidak berhasrat untuk mengembalikan sistem monarki sebagaimana negara Jepun. Apabila perkara ini ditanyakan kepada Pemandu Pelancong, beliau menyatakan bahawa sistem monarki sudah tidak lagi relevan di Korea memandangkan rakyatnya telah selesa dengan sistem Republik yang mengandungi Presiden dan Perdana Menteri. Apatah lagi pengaruh Amerika Syarikat yang masih lagi kuat di negara berkenaan sudah pasti tidak bersetuju sistem beraja dikembalikan di Korea. Secara berjenaka, pemandu pelancong berkenaan menyatakan sekiranya mahu melihat Raja Korea pada hari ini, bolehlah melihat kepada saudara mereka di utara yang telah pun mempunyai dinasti ‘Beraja’ mutlak dalam bentuk baru.
 
 
Singgahsana Raja Korea di dalam Istana Gyeongbok

 
Berdasarkan kepada maklumat yang disampaikan juga, Republik Korea mulai bangkit ketika di bawah pemerintahan Presiden yang ketiga iaitu Park Chung-Hee. Mungkin hampir sama dengan bentuk pentadbiran Lee Kuan Yew dalam memajukan Singapura, pentadbiran Park Chung-Hee telah dikritik sebagai berbentuk diktator. Tambahan lagi beliau memerintah sehingga selama lima penggal sebelum mati dibunuh. Tetapi tempoh pemerintahan beliau telah digunakan sepenuhnya untuk memajukan Republik Korea. Antara jasa terawal beliau untuk memajukan Republik Korea dimulakan dengan membina infrastruktur jalan raya yang menghubungkan seluruh negara berkenaan.
 
Kawalan keselamatan di sini amat-amat ketat. Teka sendiri ini bangunan apa.

Penulis meninggalkan kawasan Gwanghwamun Square dengan sedikit perasaan hampa kerana tidak berjaya menjumpai sebarang barang atau kesan peninggalan alam Melayu di Istana Gyeongbok mahupun di Muzium Sejong. Menurut pemandu pelancong, Dinasti Joseon tidak mempunyai banyak hubungan dengan alam Melayu. Perjalanan diteruskan ke Masjid Itaewon untuk Solat Jama’. Di sini, barulah penulis mendapat satu maklumat yang menarik. Menurut seorang rakyat Malaysia yang menginap di Korea, tapak bagi Masjid Itaewon telah diwakafkan oleh Perdana Menteri pertama kita iaitu almarhum Tunku Abdul Rahman. Bagaimana pula beliau boleh mempunyai tanah di Korea? Menurutnya, Malaysia pada awal zaman kemerdekaannya banyak membantu Korea yang ketika itu amat daif dan ketinggalan kesan daripada peperangan dengan saudara komunis mereka di utara. Atas jasa itulah, Kerajaan Korea kemudian telah mengurniakan sebidang tanah kepada almarhum Tunku yang kemudiannya bertindak mewakafkan pula tapak berkenaan bagi pembangunan sebuah Masjid.

Masjid Itaewon

 
Terdapat banyak perkara positif yang boleh dipelajari oleh kita untuk menjadi maju seperti Republik Korea yang satu ketika dahulu berada jauh di belakang negara kita. Melalui penelitian penulis, beberapa faktor yang membantu Republik Korea untuk bangkit menjadi sebuah negara maju adalah seperti berikut :

i)         Hampir 99 peratus Rakyat Republik Korea adalah homogenous, iaitu sama keturunan serta sama bahasa, warna kulit dan budaya. Justeru itu memudahkan sebarang polisi pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh Pemerintahnya;
 
ii)           Republik Korea mewajibkan kerahan tenaga kepada semua warga lelakinya selama dua (2) tahun. Kerahan tenaga ini merupakan latihan ketenteraan sebenar dan pelatihnya boleh bertindak sebagai askar sekiranya peperangan benar-benar meletus, bukannya latihan ala-ala PLKN. Tindakan ini telah melahirkan warganya yang berdisiplin tinggi dan berani;
 
iii)            Republik Korea menggunakan faktor sejarah secara positif untuk memotivasikan rakyatnya untuk berjaya. Sehingga kini, faktor serangan dan penjajahan Jepun serta kesengsaraan peperangan dengan saudara Komunis mereka di utara digunakan sepenuhnya untuk mendidik rakyatnya agar lebih tekun berusaha;

iv)       Republik Korea meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi. Wang not Korea yang terbesar iaitu 50,000 Won mengabadikan wajah Shin Saimdong, iaitu ibu kepada tokoh Konfusius Korea, Yi I. Malah, Presiden Republik Korea pada hari ini adalah seorang wanita iaitu Park Geun-Hye, yang merupakan anak kepada tokoh pembangunan Korea yang juga mantan Presiden Korea iaitu Park Chung-Hee. 

Teguran Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Yang Berkenaan Sahaja

$
0
0

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran penulis ketika itu iaitu :

i) Untuk memastikan skill penulisan sentiasa dapat diasah dan ditambahbaik;
ii) Berkongsi pandangan tentang sesuatu isu dan bertukar-tukar maklumat yang dimiliki pembaca; dan
iii) Sebagai amal jariah menerusi perkongsian ilmu, memandangkan penulis mempunyai kekangan masa untuk membuat kerja-kerja kebajikan di luar sana.

Walaupun ketika era blog baru-baru meletus, ramai blogger yang membuat duit dengan menulis di blog, tapi penulis sentiasa memastikan agar niat di atas tidak terpesong. Lagipun menulis artikel-artikel ilmiah tidak semudah menerbitkan artikel-artikel picisan setiap hari. Tidak pernah peduli berapa ramai yang follow blog ini, tidak pernah kisah sama ada artikel-artikel yang dikeluarkan dikomen atau tidak, yang penting, pembaca ada mendapat sedikit ilmu dan manfaat daripada apa yang dipaparkan. Dan selepas era Facebook pula meletus, penulis masih tidak membuat sebarang page rasmi di FB sehingga kini kerana bukan jumlah like atau komen beratus-ratus yang dikejar.

Setelah agak lama menulis, penulis dapat belajar sesuatu yang penting terutamanya daripada blogger-blogger yang lebih otai dan terpelajar. Bahawa seorang penulis amat-amat sensitif dengan penulisannya, terutamanya jika penulisannya dipetik oleh orang lain sesuka hati. Jika dikalangan comedian mempunyai satu unwritten rule bahawa lawak yang dibuat oleh seorang pelawak tidak boleh ditiru langsung atau diulang oleh pelawak yang lain, begitu jugalah dengan hasil penulisan seseorang. Kebiasaannya keizinan akan dipohon terlebih dahulu. Jika ada mana-mana artikel yang diminati termasuk oleh rakan-rakan blogger yang lain, mereka akan linkkan terus di FB masing-masing. Bukannya copy paste dan kemudian buat seolah-olah artikel berkenaan ditulisnya sendiri. Blogger-blogger ilmiah terdahulu amat-amat menghormati prinsip ini.

Ada beberapa sebab mengapa penulis tidak mengizinkan penulisan artikel di blog ini dicopy paste sesuka hati. Perkara paling utama adalah kerana kebanyakan maklumat yang dipaparkan merupakan maklumat ilmiah. Kadang-kala sesuatu artikel mengambil masa sehingga hampir setahun sebelum dapat dikeluarkan. Penulisan di blog ini bukannnya mengenai cerita artis perempuan tak cukup kain atau mengenai status update artis lelaki yang dijadikan buku! Tetapi perangai dan sikap laman-laman sesawang generasi baru terutamanya page-page hiburan amat menjengkelkan apabila dengan sesuka hati boleh mengambil artikel-artikel di blog orang lain dan kemudiannya dipaparkan seolah-olah ditulis sendiri. Apabila ada pembaca yang membuat pertanyaan lanjut diluar daripada maklumat yang dipaparkan, mereka terus diam dari menjawab kerana mereka sememangnya sedia bodoh dan hanya tahu untuk copy paste semata-mata tanpa ada langsung pengetahuan atau sumber rujukan maklumat berkenaan.

Selama ini penulis menegur secara lembut kepada page-page yang sesuka hati mengambil artikel di blog ini. Tetapi salah satu sikap mengecewakan orang Melayu kita ialah mereka akan mengambil sikap endah tak endah apabila teguran diberikan secara baik dan berhemah. Sebagai manusia biasa, kadang kala penulis hilang kesabaran juga dan terpaksa menegur secara kasar kerana selepas itu baru respon akan diberikan.


Namun begitu, ada juga page yang masih menunjukkan rasa hormat walaupun ditegur agak kasar. Mereka masih tenang dan memohon maaf secara jujur apabila menyedari kesilapan menyiarkan artikel di blog ini tanpa izin. Syabas dan berbanyak terima kasih diucapkan kepada page Himpunan Cerita Lawak.   



Namun begitu, ada juga page yang jenis tidak makan saman seperti Oh My Media (OMM). Boleh pula artikel diambil untuk dipinda dan diedit sesuka hati tanpa langsung mengetahui sumber sebenar adalah dari blog ini. Ditegur secara baik, komen tidak keluar di page. Ditegur secara kasar, boleh pula melenting dan berkata ‘Anda Sopan Kami Segan’. Pulak! Siapa yang biadap sebenarnya? Kemudian sudah dinyatakan dengan jelas bahawa keizinan tidak diberikan kepada mereka untuk mengambil dan mengolah semula artikel dari blog ini, boleh pula buat bodoh dan langsung rasa tidak bersalah sampai sekarang. Ditegur secara baik, mereka buat tak tahu. Ditegur secara kasar melenting pula dan pandai pula meminta agar lebih beradab. Jadi, anda semua sebenarnya nak ditegur macam mana?

Di bawah ini adalah antara page-page hiburan lain yang langsung tiada rasa malu dan bersalah mengambil artikel dari blog ini untuk disiarkan dalam laman masing-masing. Apa yang kalian kejar sebenarnya? Terlalu laparkan jumlah followers, komen dan like? Terlalu mengejar rating demi duit? 



www.beritahariani.com
Ditulis sumber : Ibnurusydi via OhMyMedia
Bila masa pula penulis bagi keizinan atau menulis 
untuk page sampah macam OMM ni?



www.sentiasapanas.com
Page suam-suam kuku yang terpaksa copy paste segala yang ada untuk kekal panas (konon!)


Viral Media yang tak tular sampai terpaksa copy paste artikel orang lain


www.jubahsemalam.com
Kesian... Dia terpaksa guna jubah semalam


www.nasitambah.com
Patut pun tak pernah kenyang, tak berkat makan nasi tambah tu


babab.net
Eloklah. Memang korang semua tak ada telur! 

Dapatkah Dua Korea Yang Terpisah Bersatu Semula?

$
0
0

Masih hangat di media massa dan media maya bercerita mengenai Korea Utara. Bermula dengan pembunuhan seorang rakyat Korea Utara yang berprofil tinggi di lapangan terbang di dalam negara kita, kes semakin berlarutan apabila petugas kedutaan kita di negara Komunis berkenaan termasuk keluarga mereka dihalang pula daripada pulang ke tanah air. Wilayah Korea merupakan satu-satunya wilayah pasca perang dunia kedua yang masih terpisah hingga ke hari ini warisan daripada pertembungan antara blok Barat dan blok Komunis yang ditaja oleh Soviet Union.

Dalam sejarah moden, terdapat empat buah negara yang pernah terpisah disebabkan oleh pertembungan antara kuasa Barat dan Komunis iaitu Vietnam, German, Yemen, dan Korea. Apa yang menarik, negara-negara sosialis/komunis di keempat-empat wilayah berkenaan meletakkan perkataan Demokratik pada nama rasmi negara masing-masing. Sehingga kadang kala ada yang terkeliru dan tidak mengetahui bahawa Republik Demokratik Rakyat Korea sebenarnya merujuk kepada Korea Utara, bukannya Korea Selatan. Tiga daripada negara berkenaan sudah pun bersatu semula pada hari ini, iaitu Vietnam menerusi kemenangan pihak komunis di bahagian utara menawan wilayah selatannya. Sementara German dan Yemen pula bersatu menerusi perundingan dan persetujuan di antara pemimpin dan rakyatnya di kedua-dua belah lebih kurang setahun sebelum kejatuhan total Soviet Union.


Ketika penulis melawat Korea Selatan lebih kurang seminggu pada tahun lepas, salah satu perkara yang ingin didengari sendiri daripada penduduknya adalah mengenai kemungkinan Korea akan bersatu semula pada masa hadapan. Terdapat negara di dunia ini yang terpisah disebabkan oleh perbezaan agama dan amat mustahil untuk bersatu semula. Antaranya ialah seperti Republik Ireland (Katolik) dengan Ireland Utara (Protestan), atau Sudan (Islam) dengan Sudan Selatan (Kristian). Namun begitu, Korea berpecah bukan disebabkan perbezaan agama, tetapi ideologi. Korea Selatan mengamalkan fahaman liberal demokratik sementara Korea Utara pula berfahaman autokratik yang tertumpu kepada kuasa keluarga Kim.

Berdasarkan pemerhatian dan pertanyaan yang dibuat, semangat untuk penyatuan semula utara dan selatan Korea masih kuat di kalangan generasi tua, khususnya bagi mereka yang masih mempunyai tali persaudaraan yang terpisah dengan saudara mara mereka di utara. Namun begitu, di kalangan generasi muda, telah mulai timbul sedikit perasaan untuk mengekalkan sahaja sempadan yang sedia ada dan dua buah negara Korea boleh terus wujud sebelah menyebelah bagi mengelakkan sebarang konflik. Keadaan ini boleh disamakan dengan generasi muda di Republik China yang inginkan sebuah negara Taiwan yang merdeka dengan identiti sendiri dan terpisah dari Republik Rakyat China.

Penulis dimaklumkan terdapat dikalangan generasi muda Korea pada hari ini yang enggan untuk turut serta dalam sesi pertemuan keluarga yang terpisah yang dianjurkan oleh Pemerintah kedua-dua negara kerana tidak mahu nama mereka direkod mempunyai kaitan keluarga dengan pihak utara. Penulis dimaklumkan dalam aspek keselamatan, sentimen anti-utara masih kuat hinggakan di kalangan pengawal yang bertugas untuk menjaga Blue House (kediaman rasmi Presiden Republik Korea), mereka disaring dengan amat ketat hinggakan latar belakang mereka diperiksa hingga beberapa generasi ke atas untuk dipastikan langsung tidak mempunyai sebarang tali persaudaraan keluarga di sebelah utara semenanjung Korea.  



Korea kini telah melewati dua generasi selepas perang, dan pada pandangan penulis, tidak mustahil dua buah negara Korea yang berasingan ini akan terus wujud pada masa hadapan. Ini kerana tempoh terpisah yang terlalu lama antara penduduk sesebuah negara yang bersebelahan akan menyukarkan mereka untuk bersatu semula dalam sebuah negara biarpun mereka sebangsa. Sebagai contoh, German tidak mungkin akan bergabung dengan Austria, Moldova menolak untuk bersatu dengan Romania, Montenegro berusaha mencipta identiti sendiri yang berbeza dengan Serbia, sementara tidak timbul permintaan untuk Kosovo bergabung dengan Albania. Hanya dalam kes-kes tertentu sahaja seperti wilayah Crimea yang telalu kecil untuk berdiri sebagai sebuah negara merdeka menyokong penuh penyertaan ke dalam Russia.      

Lihat juga catatan lama mengenai Korea pada tahun lepas



Isu Basi : Hang Tuah Sebenarnya Seorang Cina?

$
0
0

Tahun ini sudah masuk tahun 2017, tetapi nampaknya kematangan masyarakat kita berkenaan dengan sejarah masih lagi di peringkat statik dan mudah dimanipulasikan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Antaranya adalah berkenaan dengan cerita bahawa Hang Tuah sebenarnya adalah seorang Cina yang bernama Hang Too Ah yang tular baru-baru ini.

Sebenarnya dakwaan bahawa Hang Tuah kononnya seorang Cina yang bernama Hang Too Ah ini bukanlah benda baru. Penulis sudah mendengarnya sejak tahun 90-an lagi iaitu sewaktu masih bersekolah. Tetapi ketika itu tiada siapa pun yang mengambil serius kerana semua orang sedar perkara tersebut hanyalah satu gurauan dan hanya bertujuan lawak sahaja, atau mengikut bahasa generasi kini, ianya adalah ‘troll’ semata-mata.

Perigi Hang Tuah di Melaka


Namun begitu, cerita ‘troll’ ini mula disebarkan secara meluas sekitar tahun 2008, iaitu ketika arena politik negara sedang ‘panas’ dengan pilihanraya dan segala yang berunsur keMelayuan termasuk sejarah Melayu sedang hebat diasak dan diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu yang merasakan mereka semakin kuat hasil kemenangan yang diperoleh dalam pilihanraya. Seorang penulis anonymous yang menggunakan pelbagai nama samaran dikesan mula menyebarkan cerita bahawa Hang Tuah kononnya seorang Cina yang bernama Hang Too Ah. Untuk mensensasikan lagi dakwaan berkenaan, maka ditokok tambah lagi cerita berkenaan dengan unsur-unsur teori konspirasi iaitu kononnya sebuah persatuan di Michigan, USA, yang menghimpunkan saintis, ahli arkeologi, sejarahwan dan sebagainya dari pelbagai negara telah menemui dan menganalisis rangka Hang Tuah dan rakan-rakannya dan kononnya mendapati mereka sebenarnya adalah seorang Cina.

Dan kisah inilah kemudian yang ditularkan dengan meluas pula oleh portal-portal berita atas talian yang diketahui umum bersikap anti-Melayu, Sebilangan masyarakat kita pula tanpa sebarang usul periksa terlebih dahulu dengan ghairah terus menyambut dan menyebarkan lagi dakwaan tersebut. Kebodohan ini bukan sahaja melanda rakyat kebanyakan, bahkan mencapai kemuncaknya apabila terdapat politikus-politikus Melayu sendiri termasuklah yang bergelar 'Dr.' dihadapan namanya mencadangkan agar satu seminar khas diadakan untuk membincangkan ke’Cina’an Hang Tuah memandangkan partinya pada ketika itu sedang kemaruk untuk memancing undi masyarakat bukan Melayu.

Demi politik, agama dan bangsa pun mereka sanggup gadaikan maruahnya. Tidakkah para politikus termasuklah yang berbangga memiliki kelulusan PhD ini terfikir untuk membuat semakan terlebih dahulu siapakah gerangan individu yang menularkan ‘troll’ berkenaan? Adakah mereka sedar bahawa persatuan dari Michigan, USA, yang disebutkan dalam artikel tentang ke’Cina’an Hang Tuah ini sebenarnya langsung tidak wujud? Adakah cerita yang ditularkan di internet tanpa diketahui asal usul sumbernya boleh terus diangkat sebagai satu teori?  

Universitas Hang Tuah di Surabaya, Indonesia


Penulis sudah malas dan penat untuk menerangkan hujah-hujah yang jelas sekali lagi bahawa cerita Hang Tuah seorang Cina ini sebenarnya hanyalah ‘troll’semata-mata yang jelas terlalu mengarut dan merepek. Para pembaca boleh menyemak penjelasan panjang lebar berkenaan hal ini dari tulisan rakan-rakan penulis yang lain. Penulis cuma terfikir untuk tempoh 10 tahun yang akan datang, adakah kebodohan masyarakat kita berkenaan perkara ini akan berulang lagi?  

Mengapa Sekolah Satu Aliran Perlu Disokong

$
0
0
Akhbar China Press baru-baru ini mengeluarkan sebuah artikel menarik yang diterjemahkan oleh malaysianchinesenews.com sebagai ‘SingleStream Education Not The Key To Foster Unity’, atau dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘Aliran Pendidikan Tunggal Bukan Kunci Untuk Menggalakkan Penyatuan’. Terdapat beberapa perkara yang ditimbulkan di dalam artikel berkenaan yang ingin diulas oleh penulis. Jadi disini penulis memohon keizinan untuk menjelaskan beberapa perkara seperti yang dibangkitkan.


1. Bahasa Ibunda Masih Diajar di Sekolah Kebangsaan

Penulisnya menyatakan bahawa “Accepting education in mother tongue is the fundamental human right”. Di negara ini, tiada siapa yang dihalang untuk menggunakan dan mempelajari bahasa ibunda masing-masing atau bahasa asing yang lain. Disebabkan itulah di Sekolah Kebangsaan, subjek bahasa tambahan seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil sebagai Bahasa Komunikasi ditawarkan dan diajar kepada para pelajar yang terlibat. Bahkan bahasa-bahasa suku kaum seperti Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan-Dusun juga turut ditawarkan. Tambahan lagi, subjek-subjek bahasa tambahan ini turut ditawarkan untuk dinilai di dalam peperiksaan tahap tertinggi negara iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)!


2. Precedent Case Berkenaan Status Sekolah Vernakular

Penulisnya menyatakan bahawa “The right is also accorded under the Federal Constitution which cannot be shaken”. Pernyataan artikel ini jelas bertentangan dengan keputusan Mahkamah di dalam kes PP v Mark Koding yang telah memutuskan bahawa ‘there is nothing in proviso (a) to Article 152(1) (of the Federal Constitution) to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English’ dan ‘accused is not guilty of sedition when he advocates for the closure of Tamil or Chinese schools’. Selain itu, keputusan kes Universiti Merdeka Berhad vs Kerajaan Malaysia, Mahkamah telah memutuskan “teaching in Chinese there would be using Chinese for an official purpose, and therefore it is not protected by the bracket words in proviso (a) of Article 150(1), and that on the contrary it would be prohibited”.


3. Status Berbeza Sekolah Agama dengan Sekolah Vernakular

Penulisnya menyatakan “However, on and off, there will be someone with ulterior motive to accuse vernacular education as the stumbling block to national unity.” Agaknya penulisnya terlupa bahawa Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama yang mempunyai status jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri dituduh sebagai penghalang perpaduan oleh sesetengah pihak. Bagaimana pula pandangan penulisnya berhubung kenyataan seorang Timbalan Presiden sebuah parti politik yang kononnya berteraskan Malaysia pada awal tahun ini mengenai Sekolah Agama? Sedangkan berbeza dengan status Sekolah Vernakular, status Sekolah Agama jelas dilindungi di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan. Dan para pelajar di Sekolah Agama juga masih lagi mengikuti sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan pada sesi yang berbeza.  


4. Silibus dan Peperiksaan Berbeza di Sekolah Vernakular

Penulisnya menyatakan “For education to have its impact on national integration, it should be a common education content, common value and shared patriotism.” Masalahnya disini adalah, pengajaran yang di ajar di Sekolah Vernakular bukan sahaja berbeza bahasa pengantar, malahan silibusnya juga berbeza. Tambahan lagi para pelajarnya juga akan mengikuti peperiksaan yang juga berbeza dan terpisah dari peperiksaan awam negara. Jadi bagaimanakah integrasi nasional dapat dipupuk berdasarkan kesamaan kandungan pendidikan seperti yang dinyatakan oleh penulisnya?



5. Tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Untuk Kaum Bumiputera

Penulisnya menyatakan lagi “The crux of national integration lies with whether the government is fair to all ethnic groups in its implementation of policies, respect and defend the basic rights of all ethnic groups. Keadilan bagaimana pula yang dimahukan oleh penulisnya kepada semua kumpulan etnik? Di negara ini, tidak wujud pun SJK(Orang Asli), tiada SJK(Iban), tiada SJK(Kadazan) dan sebagainya. Majoriti kaum-kaum bumiputera ini menyokong dan menghantar anak masing-masing ke Sekolah Kebangsaan. Selain itu, tiada mana-mana kaum pun termasuklah bukan Bumiputera yang didiskriminasikan dan dihalang untuk belajar dan menuntut di Sekolah Kebangsaan. Jadi bukankah keadilan telah diletakkan pada tempat yang wajar apabila peruntukan untuk pendidikan perlu diutamakan kepada Sekolah Kebangsaan? 


6. Sekolah Kebangsaan Menggalakkan Integrasi, Bukannya Asimilasi

Penulisnya menyatakan lagi“Instead of relying on assimilation policies to achieve national integration”. Penulis kira tuduhan berkenaan polisi asimilasi ini agak berat. Pernahkah dijumpai masyarakat Cina tempatan yang dihalang secara perundangan daripada menggunakan nama Cina dan bahasa ibundanya seperti yang pernah berlaku di Thailand dan Indonesia? Sedangkan di negara kita, kewujudan akhbar-akhbar, saluran radio dan televisyen berbahasa Cina dan Tamil yang cukup banyak sejak sekian lama membuktikan bahawa negara kita amat-amat bertoleransi dan tidak menekankan sebarang dasar asimilasi.    


7. Sekolah Kebangsaan Menggalakkan Interaksi Antara Kaum

Penulisnya menyatakan lagiIn the 90s the Education Ministry implements student interaction unity project for schools of all streams to integrate through extra-curricular activities. This enhances understanding and interaction among students of all races.” Mungkin penulisnya terlupa, pada tahun 90an juga, Kerajaan cuba memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan iaitu pengekalan tiga aliran sekolah yang berlainan tetapi berkongsi beberapa kemudahan dalam premis yang sama, tetapi malangnya ini pun gagal dan ditentang habis-habisan. Jadi penulis ingin bertanya sejauh manakah berjayanya proses interaksi antara pelajar yang berlainan kaum ini dapat dicapai sekiranya mereka hanya bertemu di dalam projek-projek tertentu? Adakah Sekolah Kebangsaan perlu dipersalahkan apabila jumlah pelajar Bumiputeranya menjadi dominan sedangkan kaum-kaum bukan Bumiputera sendiri enggan menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sana?



8. Tiada Sekolah Vernakular di Singapura

Untuk penutup, penulisnya menyatakan “Single stream education is an outdated concept without knowing the trend and development in the world”. Tokoh agung Singapura, mendiang Lee Kuan Yew pada awal pembentukan republik berkenaan dengan tegas telah bertindak untuk menutup sekolah-sekolah Cina dan Universiti Cina di sana dengan tujuan untuk menyatu-padukan rakyatnya di bawah satu sistem pendidikan tunggal. Dan dasar berkenaan masih lagi berjalan dan diteruskan sehingga kini biarpun beliau telah beberapa tahun meninggal dunia. Ada apa-apa komen mengenai perkara ini? 

Catatan Perjalanan : Syawal di Republik Singapura

$
0
0


Sudah sekian lama penulis tidak pulang berhari raya di Singapura, jadi dikesempatan Syawal pada tahun ini, penulis memutuskan untuk ke Singapura. Terlalu banyak kenangan lama di sini. Selain menziarah pusara ahli keluarga, antara kenangan manis semasa zaman kanak-kanak sudah tentu hasil duit raya di sini agak lumayan, 2 Dolar Singapura yang diperoleh di setiap rumah agak banyak nilainya apabila ditukar ke Ringgit Malaysia. Dan kenangan melucukan adalah pernah satu ketika, seingat penulis Singapura telah menyambut 1 Syawal sedangkan Johor diputuskan masih lagi 30 Ramadhan. Tetapi pada hari ini, difahamkan tarikh perayaan antara negara-negara di Asia Tenggara telah diselaraskan secara bersama.

Singapura masih lagi sebuah ‘hutan batu’ yang bukanlah menjadi satu destinasi kegemaran penulis yang lebih gemarkan suasana kampung dan semulajadi. Pada sesi lawatan ini, penulis tergerak untuk melawat Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Amat menyedihkan apabila melihat suasananya yang kini sunyi sepi. Hanya terdapat satu papan tanda gerai makanan yang masih wujud. Dan bangunan usang ini, yang menjadi saksi tanda kewujudan nama ‘Tanah Melayu’ di Singapura menerusi perkhidmatan KTM, kini hanya tinggal kenangan kerana perkhidmatan keretapi akan dipindahkan ke Woodlands, selaras dengan persetujuan yang telah dicapai antara Singapura dan Malaysia.  


Stesen Keretapi Tanjong Pagar


Penat berjalan, penulis meninggalkan stesen keretapi berkenaan dan menuju ke  Masjid Temenggong yang terletak bersebelahan untuk bersolat. Masjid Temenggong ini amat istimewa, kerana terletak di Teluk Belanga / Blangah, yang merupakan pusat pemerintahan Temenggung Johor, yang juga melahirkan busana Johor jenis Teluk Belanga yang digunakan sehingga kini. Jika dirujuk kepada Abdul Rahim Ramli (2011), kawasan Teluk Belanga (termasuk Masjid Temenggong) di Singapura ini masih kekal menjadi wilayah jajahan Johor dengan bendera Negeri Johor dikibarkan, malahan para kakitangan JAIJ ditempatkan di Masjid ini dan doa untuk khutbah Jumaat juga didoakan kepada DYMM Sultan Johor. Di luat masjid, terdapat kawasan makam yang menempatkan para kerabat Di Raja Temenggong Johor. Berlainan dengan keadaan di Kampung Gelam termasuk tapak istananya yang merupakan kawasan pemerintahan Sultan Singapura tetapi kini telah diambil alih sepenuhnya oleh pemerintah Singapura.


Masjid Temenggong, Teluk Belanga


Berbual dengan rakyat tempatan, mereka menyatakan betapa beruntungnya rakyat di Malaysia dalam hal agama Islam. Ini kerana mereka menyatakan masjid-masjid di Singapura dibiayai dengan wang saku para jemaah Muslim sendiri, kerana bantuan kewangan dari Pemerintah dalam hal agama Islam hampir tiada. Setiap kali solat Jumaat, mereka sanggup mengeluarkan derma kepada tabung Masjid dalam memastikan rumah-rumah Allah ini dapat dibiayai perbelanjaan bulanannya. Satu perkara yang membuatkan penulis berasa insaf.

Bertukar topik berkenaan pilihanraya Presiden Singapura yang menyaksikan Pemerintah telah membuat ketetapan untuk memberi keistimewaan untuk hanya etnik Melayu bertanding bagi pemilihan kali ini, penulis bertanya siapa calon yang menjadi pilihan komuniti Melayu-Islam Singapura? Adakah Speaker pilihan pemerintah iaitu Halimah Yacob, atau mantan Speaker Abdullah Tarmugi yang berdarah kacukan Melayu-Cina, para menteri seperti Masagos Zulkifli, Dr. Yaacob Ibrahim, Zainul Abidin Rasheed, atau ahli korporat seperti Bahren Shaari, Poad Shaik Abu Bakar Mattar, dan Salleh Marican?    

Jawapan yang diberikan, siapa pun Melayu yang terpilih, tidak akan banyak perubahan dijangka berlaku kepada komuniti Melayu-Muslim. Ini kerana kuasa eksekutif berada di tangan Perdana Menteri, bukannya Presiden. Apatah lagi komuniti pribumi Melayu-Islam Singapura hanyalah minoriti di bumi sendiri. Cuma apa yang pasti, pemerintah sudah pasti akan memastikan bakal Presiden kelak tidak selantang dan seberani Ong Teng Cheong, yang merupakan Presiden Singapura pertama yang dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi undi popular. Presiden Singapura sebelumnya dipilih oleh Parlimen.

Parlimen Singapura di Waktu Malam



Penulis meninggalkan bumi Singapura hanya setelah malam menjelma. Tidak pasti bila lagi akan berkesempatan untuk kembali ke negeri asal ini sedangkan ia hanya bersempadan dengan Johor. Tetapi apa yang pasti, Singapura akan sentiasa amat-amat dekat di hati ini. 

Siapa Pengasas Sebenar Kuala Lumpur?

$
0
0


Penulis baru selesai menghadiri satu forum yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, bertajuk “Apakah Kuala Lumpur Dibuka oleh Yap Ah Loy?”. Forum ini menampilkan dua tokoh terkemuka iaitu YBhg. Dato’ Ar. Haji Hajeedar Abdul Majid, Pengerusi Majlis Warisan Negara, dan YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim, pakar rujuk bidang sejarah Negara. Di awal forum lagi, fasilitator telah mengingatkan bahawa forum ini diadakan bukan bertujuan untuk menafikan sumbangan mana-mana tokoh pun, tetapi sekadar membetulkan naratif pensejarahan negara.


Ulasan Khoo Kay Kim


Forum dimulakan dengan sesi pembentangan oleh Prof. Khoo yang menyatakan isu apakah Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy ini sepatutnya tidak berbangkit lagi. Prof. Khoo melontarkan satu soalan mudah untuk difikirkan, Yap Ah Loy adakah Kapitan Cina ketiga yang dilantik bagi Kuala Lumpur. Justeru adakah logik beliau yang mengasaskan pembukaan bandar berkenaan?

            Senarai Kapitan Cina Kuala Lumpur :
            1858 – 1861 Hiu Siew
            1862 – 1868 Liu Ngim Kong
            1868 – 1885 Yap Ah Loy
            1885 – 1889 Yap Ah Shak
            1889 – 1902 Yap Kuan Seng

Prof. Khoo menjelaskan bahawa Yap Ah Loy merupakan tokoh yang telah diarahkan oleh British untuk membina semula bangunan-bangunan di Kuala Lumpur yang telah terjejas akibat bencana kebakaran. Walau bagaimanapun, kaum Cina bukanlah golongan pertama yang membuka Kuala Lumpur. Golongan yang membuka Kuala Lumpur adalah kaum Mandailing dan Kerinchi. Ketua kaum Mandailing yang membuka Kuala Lumpur adalah Sutan Puasa dan beliau bertanggungjawab menjemput kaum Cina untuk datang melombong bijih timah di kawasan berkenaan.

Prof. Khoo kemudian menjelaskan dengan panjang lebar mengenai sejarah hubungan etnik dengan penekanan diberikan bahawa Malaya bererti ‘Land of The Malays’ dan orang-orang Melayu memanggil tanah semenanjung mereka ini sebagai ‘Tanah Melayu’. British mengakui kewujudan Negeri-negeri Melayu yang diperintah oleh Raja-rajanya dan British hanya bertindak sebagai penaung, bukan pemerintah. Jajahan British hanya merangkumi Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Dinding, Melaka dan Singapura. Orang-orang Melayu secara automatik menjadi rakyat Raja di negeri masing-masing sementara masyarakat di Negeri-negeri Selat merupakan British subjects. Di dalam bancian yang dilakukan oleh British, orang Melayu dinyatakan sebagai The Malays sementara etnik-etnik Melayu anak Dagang yang lain seperti Jawa, Bugis, Boyan dan sebagainya dinyatakan sebagai other Malaysians. Masyarakat bukan Melayu yang berpindah ke Negeri-negeri Melayu adalah berstatus Stateless Citizen.

Berbalik kepada Kuala Lumpur, bandar ini dipilih sebagai Ibu negeri oleh British atas faktor geografi iaitu terletak di tengah-tengah antara dua pelabuhan utama milik British iaitu Pulau Pinang dan Singapura. Justeru itu, pembangunan pesat berlaku di Kuala Lumpur disebabkan British memberi tumpuan terhadap bandar berkenaan. Setiap kuala ada sungainya, dan sungai Lumpur sebenarnya merujuk kepada nama sebenar Sungai Gombak yang wujud pada hari ini.


Ulasan Hajeedar Abdul Majid


            Pembentangan diteruskan oleh Ar. Hajeedar yang juga merupakan anak jati Kuala Lumpur. Beliau menjelaskan bahawa penempatan telah mula diwujudkan di Kuala Lumpur oleh kaum Mandailing dan pentadbiran asas telah diperkenalkan oleh pemimpin mereka iaitu Sutan Naposo yang diberikan gelaran ‘Waris Negeri’ atau ‘Ketua Dagang’ oleh Sultan Selangor. Beliau juga dikenali sebagai Sutan Puasa Raja Iro Koling dan merupakan bangsawan Mandailing dari marga Lubis yang berasal dari Mandailing Julu, Sumatera. Kaum Mandailing banyak melakukan penghijrahan termasuk ke Tanah Melayu kesan daripada Perang Padri. Nama asal Kuala Lumpur adalah Muara Bustak yang bermaksud ‘muara berlumpur’ dalam Bahasa Mandailing. Perkembangan aktiviti melombong bijih timah di Kuala Lumpur telah menyebabkan Sutan Puasa menjemput Hiu Siew dari Lukut sebagai Kongsi dan turut melantiknya sebagai Kapitan Cina pertama bagi Kuala Lumpur. Liu Ngim Kong kemudian menggantikan Hiu Siew sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur yang kedua sebelum Yap Ah Loy, yang merupakan orang kanan Liu Ngim Kong, menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur yang ketiga.

           Pembangunan Kuala Lumpur turut melibatkan kaum Kerinchi menerusi pemimpinnya iaitu Haji Abdullah Hukum yang mengambil upah daripada Sutan Puasa dan bertanggungjawab membuka tanah dan membina terusan pengairan bagi tujuan pertanian. Beliau juga bertanggungjawab membuka perkampungan di Sungai Puteh yang kini dikenali sebagai Kampung Abdullah Hukum.

            Ar. Hajeedar memberikan penjelasan yang memuaskan bahawa polemik mengenai isu siapa pengasas sebenar Kuala Lumpur berlaku disebabkan oleh terjemahan bagi istilah ‘founder’ yang dibuat mengikut konteks Barat. Menurutnya, dalam konteks yang rumit dan kompleks, istilah berkenaan diutamakan oleh orang-orang berkepentingan untuk menjustifikasikan kuasa atau hak mereka dengan tidak mengambil kira adanya masyarakat dan tamadun tempatan dikawasan yang dikuasai. Beliau memberikan contoh berikut :

            Christopher Columbus – discoverer of America
            James Cook – founder of Australia
            Stanford Raffless – founder of Singapore
            Francis Light – founder of Penang

            Maka istilah yang sama telah digunakan oleh British untuk Yap Ah Loy, yang berasal dari Huizhou, Guangdong, dan merupakan Ketua Kongsi Hai San (Hakka) yang telah banyak terlibat dalam pembangunan semula Kuala Lumpur akibat daripada bencana seperti banjir dan kebakaran serta kesan dari perang saudara. 


Siapa Kaum Mandailing dan Kerinchi?

Usai forum, penulis kemudian membuat carian lanjut mengenai kaum Mandailing dan Kerinchi. Dengan merujuk maklumat yang diberikan oleh M. J. Melalatoa (1995) menyatakan bahawa suku Mandailing merupakan salah satu daripada sub-etnik kaum Batak dan wilayahnya kini termasuk dalam Kabupaten Tapanuli Selatan, Provinsi Sumatera Utara. Orang Mandailing memang banyak merantau berbanding dengan kelompok Batak di bahagian utara. Berbeza dengan etnik-etnik Batak di bahagian utara Tapanuli yang secara umumnya beragama Kristian, kaum Mandailing merupakan penganut Islam yang taat.

Bagi kaum Kerinchi pula, penulis membandingkan maklumat antara M. J. Melalatoa (1995) dengan Zulyani H. (1996) dan mendapati kaum Kerinchi berasal dari Kabupaten Kerinchi, Propinsi Jambi. Kebudayaan kaum ini banyak dipengaruhi oleh kaum Minangkabau, tetapi sistem pemerintahan tradisionalnya banyak dipengaruhi oleh kaum Melayu Jambi. Seperti kaum Melayu yang lain, kaum Kerinchi beragama Islam dan bahasanya dikenali sebagai bahasa Melayu Kerinchi.


Apa yang penulis dapat simpulkan dari forum ini, Kuala Lumpur telah diasaskan dan dibuka oleh Sutan Puasa, muktamad! Namun begitu, sumbangan Yap Ah Loy dalam membangunkan semula bandar berkenaan tidak boleh dinafikan. Seperti yang dinyatakan oleh ahli panel, pelbagai tokoh dari pelbagai kaum sebenarnya telah bersama-sama membangunkan Kuala Lumpur hingga menjadi sebuah kota metropolitan seperti yang kita ketahui pada hari ini.   

Contohi Indonesia Dalam Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan

$
0
0

Berdasarkan kepada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara yang telah diadakan di Putrajaya pada hujung minggu lalu, salah satu isu yang dibincangkan adalah betapa Bahasa Kebangsaan kita telah gagal untuk menjadi medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Menurut Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, bukti kegagalan itu ialah polarisasi kaum masih wujud secara nyata. Katanya, rata-rata pelajar di SJKC hanya fasih berbahasa Mandarin berbanding dengan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jelas beliau lagi, pemerhatian mendapati negara yang membenarkan penggunaan satu bahasa sahaja sebagai bahasa utamanya lebih mudah mengurus perpaduan rakyatnya.

Penulis bersetuju penuh dengan apa yang dinyatakan oleh beliau. Tidak perlu untuk pergi jauh, lihat sahaja di seberang negara kita iaitu Indonesia. Indonesia mempunyai kepelbagaian kaum yang berkali-kali ganda berbanding dengan jumlah etnik yang ada di negara kita. Namun begitu, dalam hal perpaduan bangsa, terbukti Indonesia sepuluh langkah lebih maju berbanding negara kita apabila berjaya menjadikan Bahasa Indonesia sebagai elemen untuk mewujudkan dan menyatukan Bangsa Indonesia. Walaupun Bahasa Indonesia secara dasarnya merupakan bahasa suku minoriti Melayu di Sumatera, tetapi ia telah dipilih sebagai Bahasa Indonesia berdasarkan status bahasa berkenaan yang merupakan lingua-franca yang telah digunakan secara zaman berzaman dari Acheh hinggalah ke Maluku.

Walaupun dari segi pelaksanaan bahasa nasionalnya, Indonesia sering dikritik kerana dasar kerasnya yang mengharamkan penggunaan bahasa Mandarin terutamanya ketika era Orde Baru, namun sekiranya diteliti kembali, bahasa Mandarin bukanlah bahasa Ibunda (mother tongue) bagi majoriti etnik-etnik Cina di Asia Tenggara. Ini kerana etnik-etnik Cina di Asia Tenggara berasal dari wilayah-wilayah selatan tanah besar Cina seperti Fujian dan Guangdong yang bertutur dalam bahasa-bahasa mereka sendiri seperti Hokkien, Teochew, Kantonis dan sebagainya. Bahkan tokoh agung Singapura, Lee Kuan Yew sendiri di dalam memoirnya mengakui bahawa bahasa Mandarin adalah asing bagi dirinya.


Bahasa Mandarin, yang merupakan bahasa rasmi bagi Republik Rakyat China dan Republik China (Taiwan), adalah berdasarkan kepada dialek Beijing yang terletak di bahagian utara China. Dan berdasarkan sejarah, etnik-etnik Cina di wilayah selatan sukar untuk menumpahkan taat setia mereka kepada Maharaja China kerana pemerintah Dinasti Qing yang memerintah di utara adalah berketurunan Manchu (Jurchen) iaitu berbeza dengan mereka. Dan bahasa Mandarin hanya menjadi bahasa rasmi dan digunakan secara meluas di tanah besar China mulai awal abad ke-20 iaitu selepas pembentukan kedua-dua Republik Rakyat China dan Republik China di Taiwan.      

Untuk contoh yang lebih jelas, mungkin situasi di Argentina boleh dijadikan sebagai ukuran. Walaupun Argentina merupakan tanah jajahan Sepanyol iaitu sebagaimana majoriti wilayah-wilayah lain di Amerika Selatan, tetapi hampir separuh daripada penduduknya mempunya darah keturunan Itali. Namun begitu, Bahasa Itali tidak pernah menjadi bahasa rasmi atau menggantikan kedudukan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi di Argentina. Ini kerana imigran-imigran Itali di Argentina datang dari pelbagai wilayah di Itali, dan mereka mempunyai bahasa-bahasa ibunda mereka tersendiri. Bahasa Itali standard yang bermula selepas penyatuan Itali pada 1871 sebenarnya merupakan bahasa dialek Tuscan yang dituturkan di wilayah Florence. Bukan semula imigran di Itali di Argentina berasal dari Florence dan dialek Tuscan tidak semestinya bahasa ibunda mereka. Justeru itu, walaupun dialek Tuscan-Florentine telah diangkat menjadi bahasa Itali selepas penyatuan negara Itali, namun imigran Itali di Argentina telah memilih bahasa utama negara tersebut iaitu bahasa Sepanyol sebagai bahasa mereka dan sehingga kini mereka tidak melihat terdapat keperluan untuk menjadikan bahasa Itali yang merupakan bahasa rasmi sebuah negara asing untuk dijadikan sebagai bahasa rasmi negara mereka biarpun mereka sendiri adalah berketurunan Itali!     

Justeru itu, bukankah Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan sewajarnya dimartabatkan sebagai bahasa pemersatu untuk semua rakyat Malaysia?


Untuk yang berminat untuk mengikuti maklumat-maklumat ringkas di FB, boleh like dan follow page rasmi Ibnu Rusydi di bawah :



Catatan Perjalanan : United Kingdom

$
0
0
Kota London pernah hangus terbakar dan diabadikan kisahnya di monumen ini

Setelah sekian lama merancang, barulah pada bulan Ogos 2017 yang lalu penulis dapat menjejakkan kaki ke United Kingdom (UK). Perjalanan agak meletihkan memandangkan masa selama 13 jam diambil untuk perjalanan udara dari KLIA ke Lapangan Terbang Heathrow. Usai mendarat dan mengambil bagasi, penulis terus turut ke tingkat bawah untuk membeli kad Oyster di kedai serbaneka bagi kemudahan menggunakan Tube (pengangkutan awam seperti LRT di Kuala Lumpur). Dengan berbekalkan google maps dan aplikasi London Tube di telefon bimbit sebagai penunjuk arah, penulis memulakan perjalanan di UK dimulai di Kota London.

Walaupun ketika itu musim panas telah bermula, namun cuaca masih agak nyaman dan banyak membantu penulis yang memutuskan untuk lebih banyak berjalan kaki di bandaraya ini. Seperkara yang penulis sedari, wajah pelbagai bangsa dan bahasa menghiasi sepanjang perjalanan penulis. Ada yang berkulit hitam, wanita berhijab, kulit putih tetapi dengan lenggok bahasa Eropah timur dan sebagainya. Mungkin terdapat kebenaran yang didengari sebelum ini bahawa kota London telah menjadi sebuah kota multi etnik. Dan kehadiran pendatang ini dikatakan antara salah satu punca utama UK menginginkan Brexit (keluar dari Kesatuan Eropah). Agak ironi untuk sebuah negara kuasa dunia yang sebelum ini dengan mudah memerdekakan beberapa tanah jajahan mereka dengan syarat menerima golongan pendatang yang di bawa masuk oleh mereka sendiri dan mengkritik dasar untuk mengukuhkan kedudukan pribumi yang ketinggalan berbanding golongan pendatang sebagai satu bentuk perkauman. 

Singgah solat di sebuah Masjid kecil yang terletak di 33 Brokes Court, 
disebelahnya terdapat sebuah gereja besar


Setelah melawat melawat beberapa mercu tanda utama bandar ini, akhirnya penulis dapat juga berjumpa dengan monumen yang dicari-cari. Bukan Big Ben, Tower Bridge, atau Trafalgar Square, tetapi London Wall. Monumen ini mungkin tidak popular atau diketahui oleh pelancong asing yang datang ke sini, tetapi amat menarik perhatian penulis. Monumen ini yang merupakan peninggalan zaman Roman di kota London, hanyalah sekadar sisa-sisa runtuhan dinding sahaja. Ianya mungkin langsung tidak ekonomik pada sesetengah pihak serta tidak berdiri se-gah monumen-monumen lain, namun tetap terpelihara dan dijaga di kota metropolitan bertaraf dunia yang pesat membangun seperti London. Bayangkan, walaupun dikiri dan kanan London Wall ini telah terbina pelbagai bangunan seperti Stesen Tube, namun sisa-sisa dinding bersejarah ini masih kekal dipelihara. Jadi, siapa yang kata penemuan artifak atau sisa-sisa binaan purba merupakan penghalang kepada pembangunan dan perlu dihapuskan? Kota London telah membuktikan sisa-sisa monumen purba boleh dipelihara dan diintegrasikan dengan pembangunan yang ingin dilaksanakan. 

Sisa dinding London Wall

Sisa runtuhan London Wall diletakkan di dalam kaca

Setelah puas menjelajah kota London selama lebih dari 2 hari, maka baru penulis memulakan pula perjalanan ke pinggir bandar untuk menuju ke Cambridge City. Seperti di negara kita, keadaan di kawasan luar bandar ini adalah lebih tenteram suasananya. Di kawasan pinggir bandar, barulah dapat dilihat wajah-wajah kulit putih English yang lebih homogenous berbanding dengan kota London. Agak menarik melihat buah-buahan seperti berry, epal dan pair tumbuh meliar di bahu-bahu jalan. Penulis juga ada merasa buah berry yang tumbuh meliar ini tetapi saiznya agak kecil. Dan diingatkan oleh rakan dengan nada melawak agar memetik buah yang terletak tinggi dan ke dalam, kerana buah di tepi jalan terdedah kepada najis binatang peliharaan.      

Buah Berry yang tumbuh meliar di tepi jalan

Memandangkan UK pada waktu tersebut masih hangat dengan pasca-Brexit, berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi menerusi perbualan dengan masyarakat setempat, maka penulis dapat berkongsikan beberapa info yang mungkin tepat atau sebaliknya seperti berikut :

1)    Britain mahukan lebih kuasa perundangan termasuk dari segi kawalan kemasukan pendatang luar. Selaras dengan sejarah Britain yang pernah menjadi sebuah kuasa dunia, mereka tidak mahu dilihat seolah-olah terpaksa tunduk kepada kehendak Brussels (Ibukota Belgium yang juga de facto Kesatuan Eropah);

2)    Tetapi mengapa keputusan pungutan suara Brexit menunjukkan Kota London serta Scotland memilih sebaliknya iaitu mahu kekal di dalam Kesatuan Eropah? Ini kerana masyarakat Kota London adalah heterogenous yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik termasuk pendatang dari negara-negara EU lain yang bebas keluar masuk ke UK. Melalui EU, rakyat Scotland pula merasakan mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar Eropah dan bukannya semata-mata di bawah pentadbiran England.

3)    Tetapi dengan memilih Brexit, Britain perlu menyelesaikan banyak perkara termasuk status rakyat dari negara-negara EU lain yang tinggal di UK, serta nasib rakyat mereka sendiri yang tinggal di negara-negara EU yang lain. Seperkara lagi, soal kawalan sempadan antara Ireland Utara (UK) dengan Republik Ireland yang sebelum ini ‘kabur’ kerana kedua-duanya merupakan ahli EU. Britain juga perlu menggubal beberapa undang-undang sendiri yang sebelum ini menggunakan perundangan di bawah EU.


Untuk catatan bergambar lain, sila rujuk pautan di FB :

1.   Melayu Bukan Pribumi Kerana Raja dan Masyarakatnya Banyak Berdarah Campuran? Cuba Lihat Contoh di England!

2.    Terjemahan Al-Quran Kuno Bertulisan Hebrew

3.    Cambridge Museum III

4.    Cambridge Museum II

5.    Cambridge Museum I

6.    University of Cambridge

7.    British Museum III

8.    British Museum II

9.    British Museum I


Akan datang, Catatan Perjalanan : Netherland  



Catatan Perjalanan : Netherland

$
0
0
Selesai urusan di UK, penulis kemudian menaiki feri untuk ke Netherland. Perjalanan menerusi feri ini akan melalui Harwich di sebelah UK dan menyeberang selat Inggeris sebelum tiba di Rotterdam di sebelah Netherland. Rotterdam merupakan antara kota pelabuhan yang terbesar di Eropah. Perjalanan menaiki feri ini mengambil masa yang panjang iaitu hampir 8 jam dan tidak disyorkan untuk pengembara yang mempunyai kekangan masa.

Di atas feri menuju ke Rotterdam, Netherland 

Netherland lebih dikenali dengan nama Belanda di Nusantara. Kadang kala juga disebut juga sebagai Holland. Tetapi mana satu nama yang tepat, Netherland atau Holland? Penulis dimaklumkan Holland sebenarnya merujuk kepada 2 buah wilayah yang terdapat di dalam negara Netherland iaitu North Holland dan South Holland. Sebelum tertubuhnya United Kingdom of Netherlands sekitar tahun 1815, Napoleon Boneparte, Maharaja Perancis telah menubuhkan Kingdom of Holland, sebuah kerajaan boneka yang diperintah oleh adiknya iaitu Louis Boneparte. Nama kerajaan tersebut diambil dari nama wilayah utama kaum Belanda iaitu Holland. Namun pada hari ini, nama negara yang tepat yang sepatutnya digunakan adalah Netherland.

Replika kapal Belanda di Amsterdam

Penulis turut dimaklumkan bahawa muka bumi Netherland sebenarnya adalah rendah dengan sebahagian wilayahnya berada di bawah permukaan laut. Terdapat nama-nama bandar yang diasaskan berdasarkan nama empangan sungai seperti Rotterdam (Rotte river+Dam) dan Amsterdam (Amstel river+dam). Walaupun mempunyai kekurangan dari segi bentuk muka bumi, tetapi mereka bijak memanfaatkan sumber tenaga semula jadi murah yang dapat dijana menerusi windmill (kincir angin). Dengan menggunakan kepakaran mereka sebagai pelayar dan pembuat peta, bangsa Dutch mula membuat sendiri hubungan dagang dengan timur jauh menerusi penubuhan Dutch East India Company, memonopoli perdagangan rempah yang amat menguntungkan yang diperoleh dari wilayah Nusantara hingga mereka mampu mencapai satu era emas yang dikenali sebagai ‘Dutch Golden Age’.      

Windmill (Kincir Angin) yang terdapat di Zaanse Schaan)

Walaupun membina sebuah empayar besar dengan memiliki tanah jajahannya sendiri  di Amerika Selatan, Afrika dan Asia, namun mereka juga pernah melalui zaman gelap terutamanya sewaktu Perang Dunia ke-2. Ketika di Rotterdam, penulis dimaklumkan bandar tersebut pernah hampir musnah diratakan keseluruhannya akibat di bom oleh tentera Nazi German. Namun perkara yang perlu dipelajari adalah disiplin dan motivasi tinggi masyarakatnya yang mampu untuk membina semula negara mereka. Hari ini, bandar Rotterdam kembali pesat membangun.

Setelah hampir 3 hari di Rotterdam, termasuk sempat singgah sebentar di kota bersejarah Delft, barulah penulis bertolak ke Amsterdam. Selaras dengan kedudukan Belanda yang pernah menjajah Melaka dan Nusantara, terdapat banyak peninggalan dari Nusantara yang boleh diterokai dari muzium-muzium yang terdapat di ibu kota negara Belanda ini. Memandangkan penulis mempunyai kekangan masa, hanya Tropen Museum yang dipilih untuk dilawati memandangkan muzium tersebut menempatkan paling banyak artifak-artifak peninggalan dari Nusantara yang pernah mereka jajahi.

Aktiviti melibatkan kanak-kanak yang dijalankan di dalam Muzium Tropen

Menariknya di kota Amsterdam ini juga, terdapat sebuah restoren yang menempatkan masakan Malaysia, dimiliki oleh seorang rakyat negara kita yang berketurunan Cina. Restoren ini terletak tidak jauh dari Amsterdam Central. Penulis berasa amat seronok dapat menikmati masakan ala Malaysia serta dapat berbual dengan rakan senegara di bumi asing ini biarpun berlainan keturunan.   

Amsterdam Central yang menjadi tumpuan pengangkutan awam terletak di tengah-tengah bandar Amsterdam


Untuk catatan bergambar lain, sila rujuk pautan di FB :

1.    Masjid Fatih Amsterdam : Dulu Gereja, Kini Masjid

2.    Keris Tertua di Dunia, Ada di Tropen Museum, Netherland

3.    Tropen Museum IV

4.    Tropen Museum III

5.    Tropen Museum II

6.    Tropen Museum I

7.    Delft City, Netherland

8.    Rotterdam City, Netherland



Akan datang, Catatan Perjalanan : Belgium  

Catatan Perjalanan : Belgium

$
0
0
Setelah meluangkan masa hampir seminggu di Netherlands, penulis meneruskan perjalanan dengan menaiki Thalys Train untuk ke Brussels, Belgium, sebuah negara berjiran yang terletak bersebelahan dengan Netherlands. Belgium berkait rapat dan berkongsi hubungan sejarah yang cukup panjang dengan Netherlands. Kedua-dua negara ini pernah bersatu di bawah United Kingdom of the Netherlands tetapi tidak bertahan lama.

Bergambar di dalam kawasan Royal Palace of Brussels

Secara umum, Belgium terbahagi kepada dua, iaitu Flanders di bahagian utara dan bersempadan dengan Netherlands, penduduknya berbahasa Dutch. Sementara Wallonia di bahagian selatan dan bersempadan dengan France, penduduknya berbahasa France. Terdapat juga sebahagian kecil masyarakat yang berbahasa German di bahagian timur Wallonia dan bersempadan dengan German. Walaupun mempunyai warna kulit dan agama yang sama, tetapi sejak sekian lama, hubungan antara kedua-dua komuniti yang bebeza bahasa di Belgium ini sentiasa mengalami pasang surutnya.

Semasa Belgium mencapai kemerdekaannya dari Netherlands, masyarakatnya telah memilih sistem monarki berperlembagaan untuk menyatukan negara Belgium. Pada asalnya, salah seorang anak Raja Perancis telah dipilih untuk merajai Negara Belgium. Namun akhirnya, takhta Belgium telah dipegang oleh seorang kerabat German dari keluarga Saxe-Coburg and Gotha iaitu Leopold I.


Jadi apa kaitan antara monarki Belgium dan United Kingdom? Nama keluarga Saxe-Coburg and Gotha sudah cukup untuk memberikan penjelasan. Leopold I telah berkahwin dengan Charlotte, puteri King George IV, Raja Britain. Sementara keluarga Diraja British pada hari ini sendiri juga berasal dari kerabat Saxe-Coburg and Gotha dari German iaitu bermula dari Prince Albert yang merupakan suami kepada Queen Victoria.Namun ketika Perang Dunia ke-2, disebabkan sentiment anti-German yang cukup kuat, nama Saxe-Coburg and Gotha yang berbaur German telah digantikan dengan nama Windsor. Selain Britain dan Belgium, kerabat Saxe-Coburg and Gotha dari German ini juga pernah menjadi Raja di negara Portugal dan Bulgaria, namun pada hari ini kedua-dua negara tersebut telah menjadi Republik.

Ramai yang menjangkakan masa depan negara Belgium ini akan berakhir sebagaimana negara Czechoslovakia, sebuah negara Eropah yang penduduknya terdiri dari dua etnik utama yang berbeza dan akhirnya berpecah menjadi dua buah negara berdaulat iaitu Republik Czech dan Slovakia. Kewujudan monarki yang sepatutnya menjadi simbol perpaduan masyarakat Belgian nampaknya juga tidak terlalu menjadi sebagaimana yang dihasratkan oleh nenek moyang mereka. Jadi apa yang dapat menyatukan masyarakat Belgium?

Ketika perkara ini ditanya kepada beberapa orang tempatan (berkulit hitam, bukan kulit putih), mereka tersenyum dan tanpa ragu-ragu menjawab, “Football maybe?”. Ya, sukan bola sepak yang dapat menyatukan masyarakat mereka, buat masa sekarang. Pasukan bola sepak Belgium pernah menduduki ranking pertama FIFA sekitar awal tahun 2016, dan masih kekal dalam Top 10 serta layak ke Piala Dunia yang akan datang. Kewujudan para pemain berdarah campuran (kulit hitam dan Arab) dalam pasukan kebangsaan Belgium serta menjadi pemain harapan telah mencerminkan sendiri kepelbagaian wajah negara tersebut.


Selain itu, tidak dilupakan bahawa ibukota negara Belgium iaitu Brussels juga dianggap sebagai ibukota de factountuk Kesatuan Eropah (EU) kerana banyak bangunan agensi-agensi di bawah EU berpusat di Brussels. Tidak seperti di wilayah Flanders atau Wallonia, penduduk di Brussels adalah pelbagai, termasuk juga pendatang kulit hitam yang boleh ditemui dengan mudah. Selain itu, terdapat juga pendatang (termasuk Muslim kerana bertudung) yang mungkin melarikan diri dari kawasan konflik asal mereka dan kemudian merempat di ibukota ini. Kadang kala penulis berasa kasihan juga melihat mereka meminta-minta sedekah dan wang dihulurkan sekadar yang termampu.


Walaupun kewujudan negara Belgium agak lewat, namun mereka masih mampu meluaskan kuasa hingga menguasai kawasan sebesar Congo di Afrika. Namun tidak seperti jiran mereka iaitu Netherlands, Belgium tidak mempunyai hubungan sejarah dengan Nusantara. Jadi hasrat untuk mencari sebarang kesan peninggalan sejarah dari Nusantara tidak berjaya di capai sepanjang penulis berada di negara berkenaan.     


Untuk catatan bergambar di Istana Brussels, sila rujuk pautan di FB :

Royal Palace of Brussels, Belgium


Akan datang, Catatan Perjalanan : France 



Catatan Perjalanan : France

$
0
0
Menara Eiffel Tower, Paris

Setelah sehari di Belgium, keesokan harinya penulis bertolak ke Paris, France, juga menerusi perkhidmatan Thalys Train dari Brussels, Belgium. Paris seperti diketahui amat terkenal sebagai sebuah ibukota romantis menerusi simbolnya yang terkenal di serata dunia iaitu Eiffel Tower. Ketibaan penulis tiba France bermula di Stesen Gare Du Nord. Agak mengejutkan apabila melihat wajah pelbagai bangsa di stesen berkenaan, terutamanya masyarakat berkulit hitam yang agak ramai di sana.

Salah satu perkara yang perlu diberikan perhatian di kota ini adalah hal keselamatan, khususnya jika anda hadir berseorangan. Selalunya anda akan menjadi sasaran dengan ditegur oleh seseorang dengan sapaan “excuse me” atau “Hello, English sir?”, seolah-olah ingin bertanyakan sesuatu atau untuk mengisi kertas oleh seseorang yang tidak dikenali. Jika dilayan, dalam sekelip mata tiba-tiba anda akan dikerumuni oleh sekumpulan orang dan tanpa disedari, beg atau barang-barang berharga anda boleh hilang dalam sekelip mata tanpa anda mampu mengenalpasti siapa yang mengambilnya.

Berdasarkan wajah mereka yang tidak terlalu Caucasian, penulis merasakan golongan ini mungkin merupakan pendatang tanpa izin yang berada di kota ini tetapi terpaksa melakukan jenayah tersebut demi kelansungan hidup. Seperti di Britain, isu kedatangan pendatang yang tidak terkawal hingga mengubah landskap wajah Paris dan France menjadi negatif ini merupakan salah satu hujah yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang menginginkan agar France menuruti jejak langkah Britain dengan keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Arc De Triomphe

Selain masalah jenayah seperti di atas, satu lagi masalah yang dihadapi oleh penulis adalah untuk berkomunikasi dengan masyarakatnya. Sesetengah masyarakatnya mempunyai persepsi yang tinggi terhadap bahasa ibunda mereka (Bahasa Perancis) dan tidak akan melayan sekiranya anda bertutur dalam bahasa Inggeris. Jadi apa yang harus dilakukan sekiranya mengalami situasi seperti ini? Maka bercakaplah dalam bahasa ibunda anda sendiri. Jika Melayu, ucapkan ‘Bonjour!’ terlebih dahulu dan kemudian bertanyalah dalam Bahasa Melayu, jika pandai ngomong Jawa, maka bercakaplah bahasa Jawa. Kebiasaannya, selepas itu baru mereka akan membalas dan bertanya kembali dalam bahasa Inggeris kepada anda.



Bercerita mengenai bahasa, walaupun France tidak pernah menjajah negara kita, namun mereka tetap terkait dengan sejarah di semenanjung yang mungkin tidak diketahui umum. Menurut Claude Guillot, sewaktu Phya Thaksin merampas kuasa di Siam pada tahun 1799, sekumpulan missionari Kristian berbangsa Perancis terpaksa melarikan diri ke semenanjung dan mereka kemudian telah dijemput oleh Francis Light untuk tinggal di Pulau Pinang, sebuah pulau yang dirampas dari Kesultanan Kedah secara tipu muslihat. Di sana, mereka memulakan perancangan untuk menyebarkan dakyah Kristian di kalangan masyarakat tempatan. Salah satu usaha yang cuba dilakukan adalah dengan menerbitkan bahan-bahan bacaan Kristian dalam bahasa Melayu.

Kumpulan missionari Kristian berbangsa Perancis ini telah berusaha untuk mempelajari Bahasa Melayu serta menerbitkan kamus bagi memudahkan dakyah mereka. Apa yang menarik, menerusi kajian surat-menyurat yang dikirimkan ke Paris, para missionari ini mengakui kelebihan dan kepentingan bahasa Melayu sebagai lingua-franca di rantau Nusantara serta mudah untuk dipelajari berbanding dengan bahasa Latin. Kamus Melayu-Perancis yang bermutu akhirnya dapat juga dihasilkan tetapi agak lewat iaitu pada tahun 1875 oleh Pierre Favre, seorang Profesor yang juga bekas missionari Kristian.

Louvre Museum

Misi utama penulis di kota Paris ini pada asalnya adalah untuk meninjau artifak-artifak dari Nusantara yang mungkin tersimpan di Louvre Museum, muzium yang terkenal kerana menempatkan lukisan Monalisa serta antara yang terbesar. Namun atas sebab-sebab tertentu, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan dan penulis kemudian mengubah haluan menuju ke Grand Mosque Paris.

France merupakan negara terakhir di Eropah dalam rangka lawatan penulis pada kali ini. Penulis kemudian menaiki Eurostar Train untuk kembali ke London untuk pulang semula ke tanahair menerusi penerbangan MAS di Lapangan Terbang Heathrow. Sesungguhnya benua Eropah ini sebenarnya menyimpan banyak bahan-bahan khazanah sejarah negara dan Nusantara yang masih boleh digali dengan mendalam. Namun kekangan masa dan kos banyak membantutkan hasrat penulis.  


Untuk catatan bergambar di Masjid Agung Paris, sila rujuk pautan di FB :

Grand Mosque of Paris


Akan datang, Catatan Perjalanan : Thailand 


Catatan Perjalanan : Thailand

$
0
0
 Di hadapan Royal Mausoleum di tengah-tengah kota Bangkok

Ketika kecil, lagu ‘Made in Thailand’ yang menjadi lagu latar sebuah filem tahun 80-an iaitu Keluarga 99 iaitu dalam babak melancong ke kota Bangkok menjadi pengenalan kepada penulis mengenali negara Thai. Ketika di bangku persekolahan, penulis pernah salah faham dengan menyangka nama ibu negara Thai diambil dari perkataan Melayu iaitu ‘bengkok’. Ketika di Sekolah Menengah, baru penulis sedar bahawa pernah wujud sebuah negeri Melayu-Islam di luar sempadan semenanjung Malaysia iaitu Negeri Patani Darussalam. Dan minat untuk menyelami sejarah Thailand semakin memuncak apabila mengetahui sejarah Chaiya (Jaya / Cahaya) dan Nakhon Si Thammarat (Negara Sri Dharmaraja / Tambralinga / Ligor) berkait dengan sejarah Melayu. 

Namun rezeki untuk ke Thailand hanya dapat direalisasikan baru-baru ini apabila penulis mempunyai urusan di Chulalongkorn University (CU), universiti tertua dan terbaik di Thailand. Usai tugas, penulis mengambil kesempatan untuk menjelajah kesan-kesan sejarah di dua (2) buah kota bersejarah yang penting di Thailand iaitu Bangkok dan Ayutthaya.

Bergambar di atas sebuah candi di Ayutthaya

Thailand baru sahaja mengadakan majlis pembakaran mayat mendiang Raja mereka iaitu mendiang Raja Bhumiphon Adulyadej. Di tengah-tengah bandar Bangkok, iaitu berhampiran dengan Grand Palace dan National Museum of Bangkok, didirikan satu binaan yang pada pandangan penulis amat gah bagi tujuan upacara tersebut, yang dapat menggambarkan betapa hormatnya rakyat Thai yang amat-amat memuliakan raja mereka.

Tentera Thai berpakaian seragam bermain peralatan muzik seakan-akan gamelan di perkarangan kawasan Royal Mausoleum

Thailand mempunyai undang-undang yang amat ketat terhadap mana-mana individu yang didapati menghina Raja Thai atau kerabatnya menerusi undang-undang yang dikenali sebagai Lese-majeste. Perkara ini memang diketahui umum. Namun ketika kunjungan penulis ke sana, penulis dapat menemui sisi lain mengapa rakyat Thai amat-amat menghormati raja mereka, lebih spesifik lagi, Raja Bhumiphon Adulyadej.

Mendiang Raja Bhumiphon Adulyadej rupa-rupanya amat-amat mengambil berat hal berkaitan pertanian, yang merupakan sektor utama penduduk Thai khususnya di kawasan luar bandar. Perkara ini berkait rapat dengan wasiat ibunya, yang diterjemah dalam bahasa Inggeris sebagai “Actually, your name is Bhumiphon, which means ‘strength of the land’. I would like you to stay grounded”. Kata-kata inilah yang menjadi pegangan mendiang Raja Thai agar sentiasa merendah diri dan bekerja keras untuk rakyatnya. Beliau dilihat kerap turun padang untuk meninjau sendiri kesusahan dan keadaan pembangunan sektor pertanian yang diusahakan oleh rakyatnya dan perkara ini amat-amat disanjungi oleh rakyat Thai.

Thailand juga mempunyai populasi masyarakat Cina yang agak besar. Tetapi sukar untuk mengenalpasti dan membezakan mereka daripada masyarakat Thai. Menurut Mohamed Mustafa Ishak (2014), masyarakat Cina mudah untuk berasimilasi menjadi masyarakat Thai sepenuhnya kerana mereka mempunyai persamaan agama dengan masyarakat Thai, iaitu agama Buddha. Disebabkan itu jugalah, amat-amat mustahil untuk menemui lagi ‘Isthmian Malay’yang beragama Buddha di kawasan segenting Kra/selatan Siam. Berdasarkan pengamatan penulis, benarlah apa yang di baca sebelum ini bahawa agama Buddha amat penting kepada masyarakat Thai sebagaimana agama Islam amat penting kepada masyarakat Melayu.

Bergambar dalam kawasan Wat Arun

Kota Bangkok juga mempunyai masyarakat Melayu, yang telah di bawa ke sana secara berperingkat sejak awal zaman Dinasti Chakri lagi. Pada awalnya, mereka di bawa sebagai tawanan perang yang berperanan sebagai buruh paksa, disamping untuk menambahkan populasi penduduk. Kebanyakan daripada masyarakat Melayu di sini berasal dari Patani. Apabila menemui wanita Thai berwajah Melayu yang bertudung terutama di kedai makan, sengaja penulis bertutur dalam bahasa Melayu. Kebanyakan yang masih boleh bertutur dalam Bahasa Melayu merupakan masyarakat Patani yang baru sahaja berhijrah ke kota ini. Sementara ada juga yang penulis temui, langsung tidak lagi boleh berbicara dalam bahasa Melayu. Mungkin mereka merupakan generasi ke-2 atau ke-3 masyarakat Melayu yang telah lama mendidiami kota ini.

Majoriti masyarakat Melayu yang penulis temui di kota ini terlibat dalam sektor sajian iaitu restoren bagi memenuhi keperluan makanan halal khususnya oleh para pelancong dari negara-negara Islam. Tetapi penulis rasakan masyarakat Melayu di Thailand boleh meneroka sektor pelancongan dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan halal yang bersesuaian khususnya bagi memenuhi keperluan pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang mempunyai persamaan bahasa.

Terdapat banyak kedai makan Melayu-Islam di sepanjang jalan Masjid Darul Aman ini

Ini kerana bahasa merupakan masalah utama di Thailand. Berdasarkan pengalaman penulis, majoriti rakyatnya tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris, bahkan untuk membaca dalam tulisan rumi juga mereka agak sukar. Sedikit tips kepada mereka yang berhasrat untuk melawat Thailand, kebiasaannya di hotel-hotel, disediakan satu kad dalam bahasa Thai bagi meminta pemandu teksi dan sebagainya untuk menghantar anda kembali ke hotel berkenaan. Pastikan anda menyimpan kad ini kerana kebiasaannya sebutan Inggeris untuk hotel tersebut berbeza dengan sebutan dalam Thai, dan kadangkala pemandu juga hanya boleh membaca dalam tulisan Thai.        
  
Boleh faham apa yang dinyatakan dalam bahasa Melayu ini?
   

Untuk catatan bergambar lain, sila rujuk ke link di FB :

1.    Siapa Sebenarnya Watak Dalam Gambar Siam Berkeris?

2.    Dua (2) Artifak Penting Melayu di Kota Bangkok

3.    Penduduk Melayu di dalam Kerajaan Ayutthaya

4.    Makassar Revolt 1686

5.    Artifak Warisan Srivijaya di National Museum, Bangkok

6.    Dua (2) Mantan Menteri Berketurunan Melayu Dalam Kabinet Thai


Kesan Pengiktirafan Terhadap Peperiksaan Persendirian Sekolah Vernakular

$
0
0


1. Penulisan ini dibuat memandangkan masih ada yang berpandangan isu pengiktirafan Peperiksaan Persendirian yang dijalankan oleh Sekolah Vernakular tidak ada mendatangkan apa-apa kesan atau impak ketara terhadap masyarakat kita khususnya golongan Bumiputera.

2. Jika dirujuk dari sudut sejarah, Sekolah Vernakular mempunyai kaitan dengan perjuangan untuk menjadikan Bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi negara. Perkara ini boleh dirujuk pada Y.A. Tan dan H.S. Teoh (2016) p.5 yang menyatakan “the launching of the Chinese language movement was underpinned by their demand to recognised Chinese as an official language in order to legitimise the position of Chinese education in the national education system”.

3. Tetapi perkara yang jarang diketengahkan, ‘bahasa Cina’ apakah yang digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Vernakular? Jawapannya adalah Mandarin, yang merupakan bahasa rasmi Republik Rakyat China. Sedangkan bahasa ibunda (mother tongue) bagi masyarakat Cina tempatan sebenarnya adalah bahasa-bahasa selatan seperti Hokkein, Hakka dan Kantonis. Mendiang Lee Kuan Yew sendiri di dalam memoirnya menyatakan bahawa “Mandarin was totally alien to me, and unconnected with my life”.  

4. Y.A. Tan dan H.S. Teoh (2016) p.76 menyatakan bahawa “the grand vision of the chinese educationists is to have a complete system of Chinese education (wanzheng de jiaoyu tixi) in Malaysia since the 1960s”. Dan perkara ini akhirnya telah berjaya dicapai menerusi kewujudan sekolah vernakular di peringkat rendah, menengah serta kolej swasta seperti New Era College.

5. Rujuk pula Y.K. Cheong (2013), demi membela status quo SJK(C), mereka secara konsisten telah menentang pelaksanaan Skim 3M pada tahun 1980 (p.144), membantah Surat Pekeliling berhubung pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam perhimpunan sekolah pada tahun 1984 (p.153), membantah Program Percubaan Sekolah Integrasi (PSI) yang bertujuan untuk mengintegrasikan murid-murid berbilang kaum melalui kegiatan ko-kurikulum pada tahun 1985 (p.156), mempertikai penghantaran 60 orang guru Cina yang tidak berkelayakan bahasa Cina ke SJK(C) pada tahun 1987 (p.163), dan membantah projek Sekolah Wawasan pada tahun 1995 iaitu pelajar sekolah berlainan aliran belajar di bawah satu bumbung dan berkongsi kemudahan asas dan kepakaran guru (p.176).

6. Y.A. Tan dan H.S. Teoh (2016) p.77 mengakui bahawa “The ICSSs (Independent Chinese Secondary School) and the NTCSSs (National-type Secondary School) have become ethnic enclaves resulting in ethnic segregation in the country”.       

7. Apa pula impak yang dijangkakan akan berlaku selepas pilihanraya ini susulan daripada pengiktirafan tersebut? Ada tiga (3) perkara utama yang dapat difikirkan.

8. Pertama, lebih banyak bantuan akan dipohon untuk disalurkan kepada Sekolah Vernakular. Maka akan terdapat persaingan untuk pengagihan peruntukan bantuan kepada Sekolah Kebangsaan. Fikirkan keadaan Sekolah-sekolah Kebangsaan di kawasan luar bandar, Sekolah-sekolah Kebangsaan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan banyak bantuan?

9. Kedua, tuntutan terhadap syarat kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta permohonan kerja ke sektor awam juga akan turut perlu dikaji semula. Sekali lagi fikirkan nasib pelajar Melayu di kampung, pelajar Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, dan Bumiputera lain yang lazimnya menuntut di Sekolah Kebangsaan dan selama ini terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar dari kawasan bandar untuk kemasukan ke universiti.

10. Ketiga, pengambilan kerja di sektor swasta. Selepas ini, mungkin akan dapat dilihat lebih banyak iklan-iklan kerja kosong yang mensyaratkan kelulusan dalam Peperiksaan Persendirian dari Sekolah-sekolah Vernakular persendirian dengan seribu alasan yang boleh direka berbanding dengan Peperiksaan Umum Negara seperti SPM.