Harapan perdamaian yang kini kabur
Jika kita meneliti sejarah perjuangan umat Islam di Nusantara dalam menentang kemaraan kuasa-kuasa penjajah dari Barat, maka salah satu aspek yang dapat kita pelajari adalah antara kaedah yang digunapakai kuasa penjajah dalam meluaskan empayar mereka adalah dengan mengadu domba Kerajaan-kerajaan Islam yang berkuasa supaya bermusuh dan bertempur sesama mereka. Kebiasaannya juga, penjajah Barat ini akan menghampiri Kerajaan Islam yang sedang terdesak untuk menawarkan bantuan bagi menyaingi atau menentang Kerajaan Islam lain yang lebih berkuasa. Antara peristiwa sejarah Nusantara yang amat mengesankan penulis adalah perang antara Kerajaan Gowa (Makassar) dengan Kerajaan Bone (Bugis) serta perang antara Kerajaan Melayu Johor dengan Kerajaan Acheh. Sekiranya Kerajaan-kerajaan Islam ini bersatu, sudah tentu penjajah Barat tidak sebegitu mudah dapat meluaskan kuasa mereka dan sudah pasti sejarah pada hari ini juga menjadi berbeza.
Seperti yang para pembaca sedia maklum, baru-baru ini Negara kita dikejutkan dengan pencerobohan di Sabah oleh sekumpulan warga Suluk dari selatan Filipina yang mengelarkan diri mereka sebagai ‘Tentera Diraja Sulu’. Peristiswa ini hanya berlaku dalam tempoh beberapa bulan setelah Bangsamoro yang diwakili MILF menandatangani perjanjian damai dengan Republik Filipina hasil inisiatif yang dimainkan oleh Negara kita sebagai perantara. Sebagai bangsa yang cukup terkenal dengan diplomasi, Negara kita telah memberi ruang dan masa yang secukupnya kepada para penceroboh ini untuk berundur bagi mengelakkan pertempuran khususnya sesama umat Islam berlaku, tetapi malangnya dibalas dengan beberapa anggota pasukan polis kita dibunuh dengan kejam. Mahu tidak mahu, angkatan bersenjata Negara kita terpaksa mengambil tindakan tegas demi mempertahankan maruah dan kedaulatan Negara.
Terdapat banyak juga komen yang dilemparkan menyatakan bagaimana pengikut ‘Sultan Sulu’ ini tergamak menyerang dan membunuh saudara seagama mereka dari kalangan anggota Keselamatan Negara. Namun begitu bagi penulis, perkara tersebut tidaklah menghairankan. Seperti dijangka, tragedi di Sabah ini melibatkan isu tuntutan negeri Sabah sebagai hakmilik Sultan Sulu. Dan jika diteliti sejarah tindakan para waris kerabat Sutan Sulu ini, dapat kita lihat ianya dipenuhi dengan sifat tamak haloba, gilakan wang ringgit, dendam serta pentingkan diri termasuk permusuhan dikalangan sesama keluarga mereka sendiri.
Untuk makluman para pembaca, kebanyakan waris Sultan Sulu yang ingin menuntut Negeri Sabah sebagai hak mereka menggunapakai nama ‘Kiram’ sebagai nama keluarga mereka, bersempena dengan nama Sultan Jamalul Kiram II, Sultan Sulu terakhir yang berkuasa dan berdaulat. Walau bagaimanapun, mereka bukanlah pewaris daripada Sultan Jamalul Kiram II, kerana baginda tidak meninggalkan sebarang waris. Sebaliknya mereka adalah waris Sultan Mawallil Wasit, adik kepada Sultan Jamalul Kiram II, yang menggantikan abangnya sebagai Sultan Sulu setelah baginda mangkat. Ini termasuklah Jamalul Kiram III, dalang disebalik tragedi di Sabah yang mendakwa dirinya adalah cucu kepada Sultan Mawalil Wasit. Yang mengharukan, adik Jamalul Kiram III iaitu Esmail Dalus Kiram turut mengangkat dirinya menjadi Sultan Sulu pada masa yang sama.
Abang dan adik sama-sama mengaku sebagai Sultan Sulu walaupun tidak berdaulat. Sibuk menuntut Negeri Sabah demi wang sedangkan Negeri Sulu sendiri tidak lagi wujud.
Sama ada Jamalul Kiram III atau adiknya Esmail, status sebenar mereka sebagai waris Sultan Sulu sebenarnya boleh dipersoalkan. Ini kerana ayah mereka, Datu Punjungan Kiram yang telah diangkat oleh pengikut terdahulu sebelum mereka sebagai Sultan Sulu dikatakan hanyalah anak tiri kepada Sultan Mawalil Wasit dan bukannya zuriat sebenar, kerana nenek mereka iaitu Mora Napsa Laga telah diambil menjadi isteri Sultan Mawallil Wasit dalam keadaan telah mengandungkan zuriat suaminya yang bernama Amil Hamja seterusnya melahirkan ayah mereka iaitu Datu Punjungan Kiram.
Dan kecelaruan mengenai lebih dari seorang individu ditabal sebagai Sultan Sulu dan tuntutan Negeri Sabah sebenarnya semakin menjadi-jadi selepas kemangkatan Sultan Mawallil Wasit. Pemangku Sultan Sulu pada waktu tersebut, iaitu Dayang-dayang Hajah Piandao atas kepentingannya sendiri telah bertindak menaikkan suaminya iaitu Datu Ombra Amilbangsa sebagai Sultan Sulu berbanding melantik kerabat yang lebih berhak. Dan Dayang-dayang Hajah Piandao ini juga yang sibuk memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Tinggi di Borneo Utara (Sabah) bagi menuntut bayaran di bawah Perjanjian 1876 daripada berusaha untuk memerdekakan negerinya sendiri daripada penjajahan Amerika Syarikat.
Akibat tindakan Dayang-dayang Hajah Piandao melantik suaminya sendiri yang bukan kerabat Sulu sebagai Sultan Sulu, maka kerabat Sulu yang lain telah sepakat untuk menaikkan Datu Tambuyong, piut kepada Sultan Shakirullah yang pernah memerintah Sulu pada tahun 1821-1823 sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Jainal Abirin. Inilah detik permulaan sejarah moden Kesultanan Sulu mempunyai dua orang Sultan yang berlainan ditabalkan pada masa yang sama. Berbalik kepada kisah Datu Ombra Amilbangsa, demi mengekalkan kuasanya sebagai Sultan Sulu, dia sanggup bersekongkol dengan Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2 dan setelah Amerika Syarikat kembali berkuasa di Filipina, Datu Ombra telah bertanding sebagai ahli Kongres dan memenanginya.
Dan tindakan Sultan-sultan Sulu yang seterusnya jelas menunjukkan mereka sendiri yang bertindak menghancurkan institusi Kesultanan Sulu. Paling jelas apabila Sultan Ismail Kiram I yang telah menyerahkan kekuasaan Kesultanan Sulu serta Borneo Utara yang pada anggapannya adalah miliknya kepada Presiden Diosdado Macapagal. Anaknya pula iaitu Sultan Mahakutta Kiram dilantik dan ditanggung oleh Presiden Marcos. Adik Sultan Mahakutta Kiram pula iaitu Sultan Fuad Kiram rela dipergunakan oleh Pemerintah Filipina untuk memburuk-burukkan Kerajaan Malaysia dan meneruskan tuntutan terhadap Sabah demi mendapatkan perakuan Filipina bahawa dirinya adalah Sultan Sulu. Dikalangan kaum kerabat mereka termasuk waris daripada bukan keluarga Kiram, masing-masing berlumba-lumba untuk menaikkan diri sendiri sebagai Sultan Sulu hingga menyebabkan pada masa kini tidak jelas siapa sebenarnya Sultan Sulu. Semuanya sibuk menuntut bayaran wang serahan Negeri Sabah daripada memperjuangkan kemerdekaan Negeri Sulu itu sendiri yang tidak lagi wujud. Jika Negeri Sulu sudah tidak wujud, maka wujud lagikah Sultan Sulu? Dan jika Sultan Sulu sudah tidak wujud, bermakna tuntutan mereka terhadap Negeri Sabah juga sudah tidak relevan. Dalam isu konflik di Sabah, waris kerabat Sulu seperti Santanina Rasul yang kebanyakan keluarganya berkerakyatan Amerika dengan angkuh dan bodoh sombong tergamak meminta campur tangan Amerika Syarikat dalam menyelesaikan krisis pencerobohan di Sabah. Agaknya waris kerabat Sulu seperti ini lupa di zaman moyangnya iaitu Sultan Jamalul Kiram II, Amerika pernah membunuh ribuan rakyat Sulu serta terlibat dalam menghapuskan Kesultanan Sulu secara halus.
Apa yang pasti, sekiranya memang ada tangan-tangan ghaib yang ingin melaga-lagakan kaum Melayu dan Bumiputera Islam dengan Bangsamoro serta menghancurkan prospek kedamaian di selatan Mindanao, maka tindakan mereka boleh dikatakan berjaya. Kredibiliti Malaysia sebagai negara Islam sederhana yang kerap bertindak membantu umat Islam lain telah terjejas, dan telah mula kedengaran saranan dari dalam negara sendiri yang meminta supaya dihentikan segala bantuan ke selatan Filipina dan memandang Bangsamoro secara keseluruhan sebagai pengganas. Di pihak Bangsamoro pula, perhatian mereka telah berjaya diterbalikkan dengan melihat Pemerintah Filipina sebagai pelindung sementara Kerajaan Malaysia sebagai penindas. Walaupun krisis di Sabah ini dilihat akan berakhir tidak lama lagi, Malaysia dan Bangsamoro sama-sama kalah dalam permainan jahat tangan-tangan ghaib ini. Dan tidak dapat dipastikan apakah nasib seterusnya kepada perjanjian damai yang telah dimeterai sebelum ini.
Lihat juga catatan lama untuk memahami ringkasan latar belakang konflik takhta Kesultanan Sulu :
Siapa Sultan Sulu yang sebenar -Bahagian 1-
Siapa Sultan Sulu yang sebenar -Bahagian 2-
Lihat juga catatan lama untuk memahami ringkasan latar belakang konflik takhta Kesultanan Sulu :
Siapa Sultan Sulu yang sebenar -Bahagian 1-
Siapa Sultan Sulu yang sebenar -Bahagian 2-