Quantcast
Channel: IBNU RUSYDI
Viewing all articles
Browse latest Browse all 61

Teguran Kepada Si (Bodoh) Sombong –Siri 1-

$
0
0


Masyarakat Melayu-Islam di negara kita sememangnya bertuah kerana dikurniakan pelbagai nikmat yang jarang diperoleh atau tak mungkin dirasai oleh saudara-mara kita di negara lain. Tidak seperti pemuda Melayu di Vietnam dan Kemboja yang hanya mampu memandang sayu peta di pusat pelancongan yang menunjukkan satu masa dahulu mereka mempunyai sebuah negara sendiri bernama Champa di sepanjang pantai timur Indochina. Tidak seperti pakcik di selatan Thai yang terpaksa menggunakan nama Saibuding Doaloh agar berbau Thai walaupun nama Melayu sebenarnya adalah Saifuddin Abdullah. Tidak seperti tentera berketurunan Melayu dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF) yang sampai mati pun tidak mungkin berpeluang merasa pangkat General berserta kuasa yang sebenarnya walaupun mereka lebih berkelayakan. Ataupun Melayu di Sumatera Utara yang kadangkala terasa dihimpit oleh suku Bumiputera yang lain terutamanya dalam bidang politik.

Malangnya, disebabkan berasa dalam zon selesalah menyebabkan kadang kala sebahagian daripada kita berasa leka dan terlupa bahawa semua nikmat yang diperolehi pada hari ini sebenarnya boleh hilang pada bila-bila masa. Mereka ini, yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi termasuklah dalam bidang agama, kadang-kala bertindak memperjuangkan sesuatu yang sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara mereka sendiri. Demi ego dengan merasakan diri sendiri kononnya seorang pejuang, mereka sanggup menggadaikan perkara-perkara yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam di negara kita.

Ambil contoh pemuda bernama Wan Ji di atas yang dikatakan sebagai seorang ‘Ustaz’. Dia bercita-cita hendak menghapuskan institusi Sultan dan menggantikannya dengan Presiden iaitu apabila Malaysia menjadi sebuah Republik. Tak tahulah sama ada dia sedar atau tidak dengan apa yang diperkatakan dan dicita-citakannya itu. Benar, pada hari ini, kebanyakan masyarakat Melayu-Islam di negara kita tidak lagi melihat peranan Sultan sebagaimana di awal zaman pengembangan Islam. Tetapi adakah itu bermakna kita perlu menghapuskan terus institusi Sultan di negara kita? Mana-mana individu yang menjawat apa-apa jawatan sekalipun terdedah kepada kelemahan. Tidak kira lah Sultan, Perdana Menteri atau Menteri Besar. Jika seseorang individu yang memegang jawatan Mufti mempunyai kelemahan dan korup, adakah kita perlu bertindak menghapuskan terus jawatan Mufti atau institusi Jabatan Agama Islam di negara kita?

Kita boleh mengkritik individu terbabit, tetapi institusi Beraja di negara kita perlu terus dipertahankan kerana ianya adalah salah satu tonggak kekuatan Melayu iaitu selain daripada Bahasa Melayu dan hak keistimewaan Melayu. Tegaknya pemerintahan sesebuah negeri Melayu pada masa dahulu kerana adanya Raja yang memerintah. Disebabkan itulah, sehingga kini, perkataan ke-Raja-an terus digunakan sebagai terjemahan kepada ‘Government’ dan tidak terhad hanya kepada ‘Kingdom’.



Benarkah tanpa Raja Melayu sebagai simbol perpaduan, Bangsa Melayu tetap akan terus kekal bersatu? Well, lihatlah kepada perjuangan kemerdekaan oleh para pejuang Melayu di selatan Thai. Sampai sekarang masih gagal dan akan terus gagal kerana mereka berpecah belah sesama sendiri kepada PULO, PULO (Baru), BRN, BRN-Coordinate, Barisan Islam Pembangunan Pattani, Gerakan Mujahidin Pattani dan entah berapa puluh lagi kumpulan yang ada tanpa ada satu pun elemen atau tokoh yang dapat menyatukan mereka. Di selatan Mindanao pula, tumbangnya Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Sulu menyebabkan suku-suku Islam Moro berebut kuasa sesama mereka menerusi MNLF dan MILF. Jika penulis adalah seorang perisik asing yang berhasrat untuk meruntuhkan kekuatan Melayu Islam di negara kita, sudah pasti gerakan untuk menghapuskan institusi Beraja akan dijadikan agenda dan keutamaan. Kerana dengan hancurnya institusi Beraja di Malaysia, bermakna hancur jugalah sebahagian daripada kekuatan Melayu-Islam dan semakin mudahlah musuh untuk menguasai kita.

Jika Wan Ji diatas benar-benar seorang Ustaz, alangkah elok sekiranya beliau bercita-cita supaya institusi Sultan diperkukuhkan dengan melantik individu yang benar-benar berkelayakan dan memahami betapa beratnya amanah dan tanggungjawab jawatan tersebut di akhirat kelak, agar kemudian sistem Khilafah yang menyatukan pelbagai pemerintahan negeri-negeri Islam dapat diwujudkan kembali. Ini tidak, yang diperjuangkan adalah agar Malaysia menjadi negara Republik dengan sistem berPresiden, yang kedua-duanya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi ciptaan dan rekaan Barat.

Adakah dengan tumbangnya institusi Sultan dan Malaysia menjadi sebuah negara Republik yang diketuai oleh Presiden, negara kita akan menjadi lebih baik? Syiar Islam akan lebih berkembang dan terpelihara? Lihat apa yang telah terjadi kepada Turki. Jatuhnya Sultan Abdul Hamid II bermakna jatuhnya juga sistem Khilafah yang terakhir di dunia. Dan kewujudan Republik Turki menyebabkan syiar Islam semakin tertindas dan bukannnya semakin berkembang terutamanya sewaktu era Kamal Ataturk. Itu pun nasib baiklah 75 peratus daripada penduduk Turki terdiri daripada Bangsa Turk dan Islam meliputi hampir 90 peratus penduduknya. Bandingkan dengan negara kita yang Melayu dan Bumiputera hanyalah berjumlah 60 peratus sementara Islam sekitar 55 peratus lebih sahaja. Bayangkan sekiranya dalam pilihanraya Presiden, kaum bukan Melayu-Islam bersatu untuk menyokong Presiden daripada golongan mereka sementara orang Melayu-Islam, ditolak golongan Mat Rempit, Mat Ganja, Bohsia, kaki disko, kaki enjoy dan lain-lain individu yang tidak ambil peduli dan tidak mendaftar sebagai pengundi, undi mereka berpecah pula kepada dua calon Presiden Melayu yang bertanding, seorang berpendidikan Barat sementara seorang lagi berpendidikan Timur Tengah. Maka atas dasar kesamarataan dan kesaksamaan sebagaimana sistem Republik berpresiden, jawatan Presiden pun jatuh ke tangan bukan Melayu-Islam iaitu berasaskan undi majoriti.

Maka ketika itu, mungkin ‘Ustaz’ Wan Ji akan terlonjak-lonjak keriangan kerana perjuangan Republik dan Presiden-nya telah tercapai dan berjaya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 61