Sebelum ini, penulis pernah paparkan mengenai penganugerahan ‘Darjah Kebesaran’ yang membawa gelaran “Dato’” oleh individu yang mengaku sebagai “Sultan Sulu” dan “Raja Surakarta” kepada rakyat negara kita. Ada juga komen-komen yang bermati-matian mempertahankan tindakan kedua-dua individu berkenaan. Artikel ini dikeluarkan kerana masih banyak komen-komen yang diberikan berkenaan dengan artikel yang telah dikeluarkan dahulu. Dan artikel ini juga adalah artikel yang terakhir membicarakan mengenai isu anugerah Dato’ dari luar negara kerana sesungguhnya isu ini amatlah membosankan khususnya kepada mereka yang masih lagi ingin menegakkan benang yang basah. Oleh itu, artikel ini akan cuba disampaikan seringkas yang mungkin supaya mudah difahami pembaca.
Kepada para pembaca khasnya yang baru mengikuti blog ini, ingin penulis maklumkan bahawa salah satu cabang yang penulis khususkan adalah mengenai kajian sejarah Kerajaan dan Kesultanan yang pernah wujud di Nusantara, terutamanya Negeri-negeri Melayu yang telah terkubur. Cuba semak, adakah terdapat blog-blog tempatan sebelum ini yang pernah memaparkan kisah mengenai Negeri-negeri Melayu dan Rajanya di luar Malaysia seperti Deli dan Serdang di Sumatera atau Sambas dan Pontianak di Kalimantan?
Penulis bukan setakat mengkaji, malahan juga berhubung secara langsung dengan kebanyakan waris Kerajaan dan Kesultanan tersebut, terutamanya kepada waris yang bertindak sebagai Pemangku Adat iaitu Raja/Sultan simbol warisan Kerajaan nenek moyang mereka, biarpun tidak lagi berdaulat. Namun begitu, lama kelamaan minat untuk mengkaji Kerajaan dan Kesultanan yang ada kadang kala menurun bila melihat perangai sesetengah waris (tetapi tidak semua) yang beriya-iya mahu mengangkat diri sendiri menjadi Raja dan menghentam waris yang lain, padahal sesiapa juga yang naik, tetap juga tidak berdaulat dan tetap juga tidak memiliki kuasa pemerintahan. Jadi, apa sebenarnya yang dikejar oleh mereka?
Penulis berikan satu contoh klasik seperti di bawah. Sebelum ini, individu di bawah ini berapi-api mendedahkan sindiket penjualan gelaran Dato’ pada harga tertentu oleh individu yang mengaku sebagai “Sultan Sulu”.
Hari ini, dia dengan bangganya mengangkat dirinya sendiri sebagai “Sultan Sulu” dan turut menganugerahkan “Darjah Kebesaran”nya sendiri pula! Manusia oh manusia...
Contoh kedua adalah kisah mengenai “Raja Surakarta”. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, selepas kematian Paku Buwono XII (Raja Surakarta/Solo) pada tahun 2004 yang lalu, dua daripada anaknya (tetapi berlainan ibu) telah berebut untuk menjadi Raja Surakarta yang seterusnya, iaitu antara Pangeran Hangabehi dan Pangeran Tejowulan. Pangeran Tejowulan kemudian akhirnya beralah dan membolehkan Pangeran Hangabehi mengisytiharkan dirinya sebagai Paku Buwono XIII. Paku Buwono XIII inilah kemudian yang banyak memberikan “Darjah Kebesaran” yang membawa gelaran “Dato’” kepada rakyat Negara kita. Sebenarnya gelaran Dato’ adalah asing bagi Keraton Jawa, kerana ianya lebih banyak digunapakai oleh Istana Melayu. Seperti “Sultan Sulu”, terdapat sindiket yang menguruskan permohonan rakyat Malaysia yang menginginkan gelaran Dato’ dari “Raja Surakarta” ini.
Yang terbaru, muncul pula “Darjah Kebesaran Dato’” yang dikurniakan oleh Sultan Palembang. Untuk makluman, Kesultanan Palembang telah lama terbubar iaitu pada tahun 1823 (hampir 190 tahun dahulu!) dengan pemerintah terakhirnya ialah Sultan Ahmad Najamuddin III. Jika ditelusuri sejarah Kesultanan ini, terdapat pemerintahnya yang amat disegani iaitu Sultan Mahmud Badaruddin II kerana keberaniannya berjuang menentang penjajahan Belanda. Sultan Mahmud Badaruddin II ini telah diangkat sebagai salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia dan wajahnya turut diabadikan pada wang kertas Rp 10.000 Rupiah Indonesia.
Pada hari ini, terdapat dua waris yang mengangkat diri mereka sebagai Sultan Palembang. Pertama, Sultan Mahmud Badaruddin III dan kedua, Sultan Iskandar Mahmud Badaruddin, kedua-duanya pun mengambil nama sempena nama Sultan Mahmud Badaruddin II. Walaupun begitu, sebenarnya terdapat ratusan waris Kesultanan Palembang yang boleh mengaku diri mereka sebagai “Sultan Palembang” memandangkan warisan Sultan Palembang telah lama terputus. Mungkin “belajar” daripada Raja Surakarta, Sultan Mahmud Badaruddin III ini kemudian turut menganugerahkan “Darjah Kebesaran Dato’” yang turut diberikan kepada rakyat Malaysia. Dan seperti biasa, permohonan untuk mendapatkan “Dato’ Palembang” juga boleh dipohon di internet.
Untuk memendekkan cerita, penulis menjawab dua soalan utama yang sering ditimbulkan oleh penerima “Dato’” oleh “Raja-raja” dari luar negara ini :
1. Kenapa Darjah Kebesaran Dato’ dari Sultan Brunei diiktiraf pula oleh Kerajaan sedangkan ianya juga dari luar negara?
Satu soalan bodoh yang sering dikemukakan. Jawapannya mudah sahaja, kerana Sultan Brunei adalah pemerintah yang berdaulat dan diiktiraf bukan sahaja di negara beliau, malahan di dunia. Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dengan jelas meletakkan Raja mereka sebagai pemerintah tertinggi, malahan memiliki kuasa mutlak. Cuba bandingkan pula dengan individu yang mengaku diri mereka sebagai “Sultan Sulu”, “Raja Surakarta” atau “Sultan Palembang” ini. Adakah Undang-undang Dasar Negara Republik Indonesia ada menyatakan yang republik tersebut mengiktiraf monarki berkenaan? Seperkara lagi adakah mereka memiliki wilayah yang ditadbir dan dikuasai? Mengapakah “Sultan Palembang” menganugerahkan “Darjah Kebesarannya” di hotel-hotel? Bukankah Kesultanan Palembang mempunyai keratonnya sendiri seperti Museum Sultan Mahmud Badaruddin II atau Kuto Besak yang masih berdiri hingga ke hari ini? Adakah individu-individu yang mengaku sebagai Raja ini boleh mengarahkan Gabenor Wilayah Autonomi Mindanau, Gabenor Sumatera Selatan atau Wali Kota Surakarta untuk mengubah hari cuti hujung minggu seperti yang dilakukan oleh Sultan Johor?
2. Ramai VVIP dan VIP dari Malaysia juga menerima Dato’ dari Raja-raja di Indonesia
Ya, ini adalah taktik lapuk yang digunakan bagi mengangkat prestij Darjah Kebesaran yang mereka kurniakan. Malahan jika boleh, mungkin Presiden Barrack Obama atau Ban Ki-moon pun mereka berikan pingat Dato’ mereka dan kemudian cetak gambar bersama banyak-banyak. Untuk makluman, ramai VVIP dan VIP yang bersetuju menerima darjah kebesaran mereka atas dasar diplomasi politik dan persahabatan antara dua negara. Tetapi para VVIP dan VIP ini tetap menggunakan gelaran kebesaran Dato’ yang telah diterima dari dalam negara sahaja. Cuba semak, adakah terdapat VVIP dan VIP yang dengan bangganya meletakkan singkatan nama anugerah yang diterima daripada para “Raja” di Indonesia ini di dalam urusan-urusan rasmi?
Sudah tiba masanya Kerajaan bertegas dengan menguatkuasakan peruntukan di bawah pindaan Akta Nama dan Lambang (Pencegahan Salah Laku) 1963 iaitu penjara 5 tahun kepada individu-individu yang menggunakan gelaran Dato’ palsu atau gelaran yang diterima daripada individu yang tidak diiktiraf di sisi undang-undang (termasuklah tindakan kepada individu di dalam negara yang mengangkat diri sendiri sebagai “Sultan” dan turut sama memberi anugerah) demi mengelakkan penyalahgunaan dan penipuan daripada terus berlaku. Untuk makluman, di Indonesia, terdapat ratusan “Raja” dan “Sultan” yang muncul pasca kejatuhan Presiden Soeharto, dari Sumatera hinggalah ke Sulawesi dan Maluku. Hari ini hanya dua atau tiga sahaja individu dari sana yang menawarkan Darjah Kebesaran Dato’. Esok atau lusa mungkin puluhan individu lain pula yang berlumba-lumba menawarkan Darjah Kebesaran mereka. Dan kepada individu yang masih lagi ingin mempertahankan “Dato’” yang mereka terima daripada “Sultan Sulu”, “Raja Surakarta” atau “Sultan Palembang” ini, satu sahaja dokumen yang penulis minta, iaitu surat pengesahan daripada Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, bahawa Darjah Kebesaran yang mereka terima itu diiktiraf dan boleh digunakan di dalam Negara.