Quantcast
Channel: IBNU RUSYDI
Viewing all articles
Browse latest Browse all 61

Jangan Sekadar Wajib, Rombak Kandungan!

$
0
0
Penulis mengalu-alukan cadangan Kerajaan agar subjek sejarah dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan nasional dan mula diajar di peringkat sekolah rendah lagi. Subjek sejarah sepatutnya menjadi serampang dua mata kepada anak-anak bangsa kita, iaitu berperanan dalam membangkitkan jati diri individu, serta memperkukuhkan lagi semangat kecintaan kepada agama, bangsa dan negara. Bagi mencapai hasrat tersebut, kandungan subjek sejarah perlulah dirombak terlebih dahulu.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof Emeritus Dr. Ahmat Adam, Fellow Penyelidik Kanan, dari Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, subjek sejarah yang diajar di sekolah-sekolah perlukan penambahbaikan dari segi ketepatan fakta, bukannya mengekalkan unsur propaganda. Propaganda keterlaluan yang diselitkan dalam akademik terutamanya subjek Sejarah akan menyebabkan orang tidak suka atau tidak yakin hingga menyebabkan penolakan kepada subjek tersebut. Sebagai contoh, di saat Parti-parti Melayu berhaluan kanan melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’ pada era pasca Perang Dunia Kedua, Parti-parti Melayu berhaluan kiri telah lama melaungkan slogan ‘Merdeka’ sebelum Perang Dunia Kedua lagi! Tetapi apapun, sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Dan inilah dilema yang dihadapi untuk merangka subjek sejarah di negara-negara yang merdeka pasca Perang Dunia Kedua seperti Malaysia dan Singapura.

Penulis lebih tertarik untuk mengulas pandangan Srikandi, penulis tetap blog Mistisfiles dan Riwayat Melayu, yang menyatakan bahawa misteri tanah Punt yang disebutkan dalam kesusasteraan Mesir purba sebenarnya merujuk kepada ‘Poni/Puni’, nama panggilan oleh masyarakat Cina pada masa dahulu yang merujuk kepada Pulau Borneo. Merujuk kembali kajian yang telah dijalankan oleh Dr. Zafarina Zainuddin dari Sekolah Sains Kesihatan dan Pergigian, Universiti Sains Malaysia, masyarakat Melayu pada dahulu kala yang berhijrah dari Indochina telah sampai ke pantai pulau Borneo terlebih dahulu di mana bangsa dan bahasa masyarakat Malayo-Polinesia ini berkembang. Dari pulau Borneo inilah mereka kemudiannya berhijrah ke Taiwan, Kepulauan Filipina, pulau-pulau di Nusantara hinggalah sejauh Madagascar dan pulau-pulau Pasifik.





Menyokong teori Nusantara bahawa rumpun Melayu sememangnya berasal dari kepulauan Melayu, bukan dari Yunnan dan sebagainya, sejarah ketamadunan orang Melayu telah menyaksikan kebangkitan dua buah empayar agung iaitu Champa di Indochina, dan Sriwijaya di kepulauan Melayu. Dan tingkat ketamadunan ini yang berlaku seawal abad ke-7 hingga 9, hanya dapat dicapai selepas proses perkembangan budaya bagi sesuatu bangsa yang menetap dalam tempoh yang cukup lama di sesebuah kawasan.



Menara Po Sa Nu, tinggalan Kerajaan Melayu Champa di Indochina


Sejarah negara sepatutnya tidak disempitkan dalam ruang lingkup sempadan politik pada hari ini, iaitu hanya dari Perlis hingga ke Sabah. Atau bermula dari penubuhan Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah negara sepatutnya memberi kefahaman mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘Alam Melayu’. Jika diikutkan, Alam Melayu ini terbentang luas dari Madagascar hinggalah ke Taiwan. Semenanjung Tanah Melayu bukan hanya dari Perlis hingga ke Johor, tetapi dari segenting Kra hingga ke Singapura dan Kepulauan Riau-Lingga! Penekanan sepatutnya turut diberikan kepada Kerajaan Champa, Sriwijaya serta Langkasuka. Kerana di Champalah, terdapatnya binaan-binaan purba yang melambangkan kehebatan tamadun silam orang-orang Melayu, di era Sriwijayalah, orang-orang Melayu terkenal sebagai pelayar yang hebat sehingga mampu menjelajah hingga ke Pulau Formosa (Taiwan) dan pulau Malagasi (Madagascar) serta diiktiraf sebagai penduduk pribumi di sana.



Andry Rajoelina, Presiden Madagascar dari etnik Merina, bangsa yang berasal dari Nusantara yang merupakan pelayar-pelayar di zaman Srivijaya. Perhatikan fizikalnya, mirip orang Afrika atau Nusantarian?


Malangnya, kita dengan mudah menolak semua itu atas alasan bahawa Champa adalah sejarah Indo-China, Sriwijaya adalah sejarah Indonesia, sementara Langkasuka adalah sejarah Thailand. Maka janganlah dihairankan apabila sesetengah masyarakat Bukan Melayu di negara kita termasuklah yang bertaraf Timbalan Menteri pada hari ini dengan selamba menyatakan yang kumpulan-kumpulan Melayu Anak Dagang seperti Jawa, Bugis, Minang dan Rawa adalah pendatang dari Indonesia sementara kumpulan-kumpulan Melayu Anak Negeri seperti Melayu Kedah dan Melayu Kelantan pula pendatang Thailand, Vietnam dan Kemboja! Siapa yang patut dipersalahkan??!!

Hari ini, generasi baru akan ternganga-nganga apabila kita menyatakan bahawa nenek moyang kita dahulu merupakan para pelayar yang menguasai samudera yang terbentang luas dari lautan Hindi hingga ke lautan Pasifik. Apa yang mereka lihat, apabila pulang ke kampung terutamanya semasa Hari Raya, rata-rata masyarakat Melayu bekerja sebagai petani, dan ramai pula yang masih dihimpit kemiskinan. Justeru itu, bagaimana pula kita boleh meyakinkan mereka bahawa kita pada masa dahulu merupakan sebuah Bangsa pelayar yang ulung?

Disinilah terletaknya kepentingan pemahaman sejarah. Mengambil maklumat Dr. Inyo Yos Fernandes, dari Masyarakat Sejarahwan Indonesia (MSI) semasa persidangan ‘Memori Kolektif Malaysia Indonesia’ pada bulan Oktober yang lalu, orang Melayu di kawasan barat kepulauan Melayu seperti Tanah Melayu dan Sumatera telah berhijrah ke kawasan sebelah timur sejak sebelum Sriwijaya lagi. Para pedagang Melayu mengambil tindakan yang amat berani demi kelangsungan perdagangan rempah yang dihasilkan di kawasan timur Indonesia. Hasilnya, hingga ke hari ini kita boleh jumpa Bahasa Melayu dalam pelbagai varian di Kepulauan Maluku, Nusa Tenggara dan Pulau Timor di dalam negara Indonesia. Namun begitu, penjajahan kuasa-kuasa Barat yang kemudiannya memonopoli perdagangan rempah telah memaksa Bangsa Melayu menamatkan bidang perdagangan dan mengubah kehidupan sebagai petani di darat kerana seluruh terusan perdagangan seperti Selat Melaka, Selat Sunda dan lain-lain terusan di Alam Melayu sudah dikuasai orang Eropah. Penjajahan telah mengubah mereka daripada pedagang maritim kepada kehidupan tani, termasuklah mengubah mentaliti orang Melayu menjadi rendah diri dan tak berkeyakinan!

Selagi subjek sejarah hanya menekankan kepada aspek penghafalan tarikh, pemilihan jawapan secara objektif, dan hanya menekankan propaganda Pemerintah, selagi itulah subjek sejarah akan terus menjadi seperti peribahasa Melayu, ‘Hidup Segan, Mati Tak Mahu’.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 61