Baru-baru ini, penulis ada terbaca sebuah post yang dikongsikan bertajuk “Perbezaan Pangkat Dato, Dato Seri, Tan Sri, Tun dan Sebagainya” di sebuah blog. Sedikit pembetulan kepada penulisnya, ianya adalah gelaran dan bukannya pangkat. Sebahagian besar kandungan artikel tersebut pula hanya copy pastesenarai Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Persekutuan semata-mata tanpa ada penerangan dengan lebih lanjut.
Jadi penulis merasakan, sebahagian besar pembaca mungkin masih kurang arif mengenai maklumat dan protokol berkaitan gelaran kehormat yang digunapakai di negara kita. Jadi di sini penulis kongsikan sedikit pengetahuan yang ada secara ringkas kepada pembaca. Mungkin bermanfaat sebagai pengetahuan am dan info tambahan.
1. Mana Satu Ejaan Yang Betul? Datuk atau Dato’?
Persoalan ini sangat popular. Sebenarnya kedua-dua ejaan tersebut betul iaitu bergantung kepada Darjah Kebesaran yang dianugerahkan. Bagi Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Melaka, ejaan gelarannya adalah Datuk. Sementara penerima Darjah Kebesaran selain daripada 5 negeri/wilayah di atas, ejaan gelarannya adalah Dato’.
Walau bagaimanapun, kebiasaannya di media massa seperti akhbar dan televisyen, ejaan ‘Datuk’ digunakan secara umum. Ini kerana wartawan tidak mempunyai banyak masa untuk menyemak jenis Darjah Kebesaran yang diterima oleh setiap individu yang memakai gelaran berkenaan.
Info tambahan : pada hari ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan tambahan Darjah Kebesaran Negeri yang baharu dan ejaan gelarannya adalah Dato tanpa tanda ( ' ) dihujungnya.
2. Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” Hanya Dari Persekutuan
Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” merupakan Darjah Kebesaran Persekutuan yang hanya dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. “Tun” merupakan gelaran anugerah tertinggi negara dan lazimnya dikurniakan kepada Yang Dipertua Negeri, Ketua Hakim Negara, dan mantan Perdana Menteri. Isteri kepada "Tun" akan bergelar "Toh Puan". Panggilan hormat bagi penerima anugerah ini dan pasangannya adalah Yang Amat Berbahagia (YABhg). Bagi “Tan Sri” pula, ia merupakan gelaran kedua tertinggi dan panggilan hormat bagi anugerah ini sama seperti “Datuk” iaitu Yang Berbahagia (YBhg.). Isteri kepada "Tan Sri" akan bergelar "Puan Sri".
3. Panggilan Hormat Bagi Darjah Kebesaran “Datuk” atau “Dato’” Kurniaan Negeri
Secara umumnya, panggilan hormat bagi semua penerima Datuk atau Dato’ dari Persekutuan mahupun Negeri adalah sama iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk / Dato' kecuali di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang.
Johor : Di Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Berhormat (YB) Dato' iaitu seperti panggilan hormat yang digunakan oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.
Pahang : Di Pahang, bagi para penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Dato' Sri atau Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Hormat (YH) Dato' Sri / YH Dato'.
4. Gelaran Dato’ Hanya Untuk Penerima Lelaki, Bukan Wanita
Benar. Tetapi hanya di Negeri Johor dan Selangor sahaja. Di kedua-dua negeri ini, gelaran Dato’ hanya digunakan oleh penerima lelaki. Sekiranya yang menerima Darjah Kebesaran tersebut merupakan seorang wanita, gelaran yang digunakan adalah Datin Paduka (termasuk juga Datin Paduka Seri dan Datin Paduka Setia di Selangor). Oleh yang demikian, di Johor dan Selangor, wanita yang bergelar Datin Paduka merupakan individu yang menerima sendiri Darjah Kebesaran tersebut dan bukannya bermaksud pasangan mereka mempunyai gelaran Dato’ Paduka.
5. Tiada ‘Datin’ Untuk Isteri Dato’ di Terengganu
Secara lazimnya, isteri kepada individu yang bergelar Datuk atau Dato’ akan memakai gelaran Datin. Namun begitu, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, isteri kepada Dato’ akan memakai gelaran To’ Puan (jangan keliru dengan gelaran ‘Toh Puan’ yang digunakan oleh isteri kepada suami yang bergelar ‘Tun’).
Info tambahan : Di Negeri Johor, gelaran rasmi bagi isteri yang suaminya bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukannya menggunakan namanya sendiri.
6. Sarawak Antara Negeri Yang Banyak Gelaran Kebesaran Berbeza
Di Negeri Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama mahupun Kelas Kedua, kedua-duanya membawa gelaran yang sama iaitu YB Dato’. Begitu juga dengan Negeri Kelantan yang menggunakan satu sahaja gelaran iaitu YBhg. Dato'. Tetapi di Negeri Sarawak, terdapat tujuh (7) Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza-beza iaitu Pehin Sri, Datuk Patinggi, Datuk Amar, Dato Sri, Datuk, Dato dan Datu ('Datu' di Sarawak merupakan gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun temurun oleh sesetengah keluarga di Sabah).
Antara gelaran yang digunakan di negeri-negeri lain adalah seperti berikut :
Kedah : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Diraja, Dato’ Seri Wira, Dato’ Seri, Dato’ Paduka, Dato’ Diraja, Dato’ Wira, Dato’
Selangor : Dato' Seri, Dato' Setia, Dato’
Perak : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Seri Panglima, Dato’ Seri, Dato’ Pahlawan, Dato’
Pahang : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Sri, Dato’
Negeri Sembilan : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Perlis : Dato' Seri Diraja, Dato' Seri Setia Diraja, Dato' Seri, Dato' Paduka, Dato' Wira, Dato' Pahlawan, Dato’
Pulau Pinang : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Sabah : Datuk Seri Panglima, Datuk
Melaka : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk
Wilayah Persekutuan : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk
7. Hanya Dato’ Brunei Gelaran Dari Luar Negara Yang Diiktiraf Kerajaan
Darjah Kebesaran yang diiktiraf oleh Kerajaan adalah yang dikurniakan oleh Ketua-ketua Negara Asing yang berdaulat, sembilan (9) DYMM Raja-raja Melayu serta empat (4) Yang Dipertua Negeri sahaja. Oleh yang demikian, hanya Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sahaja merupakan satu-satunya dari luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.
Oleh itu, gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh individu yang mengaku dirinya sebagai waris keturunan Maharaja Nusantara, Raja Majapahit, Sultan Negeri Pasir Berdengung, Raja Negeri Isketambola dan sebagainya merupakan satu penipuan dan pemberi serta penerima yang menyalahgunakan gelaran kebesaran tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.