Berdasarkan kepada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara yang telah diadakan di Putrajaya pada hujung minggu lalu, salah satu isu yang dibincangkan adalah betapa Bahasa Kebangsaan kita telah gagal untuk menjadi medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Menurut Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, bukti kegagalan itu ialah polarisasi kaum masih wujud secara nyata. Katanya, rata-rata pelajar di SJKC hanya fasih berbahasa Mandarin berbanding dengan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jelas beliau lagi, pemerhatian mendapati negara yang membenarkan penggunaan satu bahasa sahaja sebagai bahasa utamanya lebih mudah mengurus perpaduan rakyatnya.
Penulis bersetuju penuh dengan apa yang dinyatakan oleh beliau. Tidak perlu untuk pergi jauh, lihat sahaja di seberang negara kita iaitu Indonesia. Indonesia mempunyai kepelbagaian kaum yang berkali-kali ganda berbanding dengan jumlah etnik yang ada di negara kita. Namun begitu, dalam hal perpaduan bangsa, terbukti Indonesia sepuluh langkah lebih maju berbanding negara kita apabila berjaya menjadikan Bahasa Indonesia sebagai elemen untuk mewujudkan dan menyatukan Bangsa Indonesia. Walaupun Bahasa Indonesia secara dasarnya merupakan bahasa suku minoriti Melayu di Sumatera, tetapi ia telah dipilih sebagai Bahasa Indonesia berdasarkan status bahasa berkenaan yang merupakan lingua-franca yang telah digunakan secara zaman berzaman dari Acheh hinggalah ke Maluku.
Walaupun dari segi pelaksanaan bahasa nasionalnya, Indonesia sering dikritik kerana dasar kerasnya yang mengharamkan penggunaan bahasa Mandarin terutamanya ketika era Orde Baru, namun sekiranya diteliti kembali, bahasa Mandarin bukanlah bahasa Ibunda (mother tongue) bagi majoriti etnik-etnik Cina di Asia Tenggara. Ini kerana etnik-etnik Cina di Asia Tenggara berasal dari wilayah-wilayah selatan tanah besar Cina seperti Fujian dan Guangdong yang bertutur dalam bahasa-bahasa mereka sendiri seperti Hokkien, Teochew, Kantonis dan sebagainya. Bahkan tokoh agung Singapura, Lee Kuan Yew sendiri di dalam memoirnya mengakui bahawa bahasa Mandarin adalah asing bagi dirinya.
Bahasa Mandarin, yang merupakan bahasa rasmi bagi Republik Rakyat China dan Republik China (Taiwan), adalah berdasarkan kepada dialek Beijing yang terletak di bahagian utara China. Dan berdasarkan sejarah, etnik-etnik Cina di wilayah selatan sukar untuk menumpahkan taat setia mereka kepada Maharaja China kerana pemerintah Dinasti Qing yang memerintah di utara adalah berketurunan Manchu (Jurchen) iaitu berbeza dengan mereka. Dan bahasa Mandarin hanya menjadi bahasa rasmi dan digunakan secara meluas di tanah besar China mulai awal abad ke-20 iaitu selepas pembentukan kedua-dua Republik Rakyat China dan Republik China di Taiwan.
Untuk contoh yang lebih jelas, mungkin situasi di Argentina boleh dijadikan sebagai ukuran. Walaupun Argentina merupakan tanah jajahan Sepanyol iaitu sebagaimana majoriti wilayah-wilayah lain di Amerika Selatan, tetapi hampir separuh daripada penduduknya mempunya darah keturunan Itali. Namun begitu, Bahasa Itali tidak pernah menjadi bahasa rasmi atau menggantikan kedudukan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi di Argentina. Ini kerana imigran-imigran Itali di Argentina datang dari pelbagai wilayah di Itali, dan mereka mempunyai bahasa-bahasa ibunda mereka tersendiri. Bahasa Itali standard yang bermula selepas penyatuan Itali pada 1871 sebenarnya merupakan bahasa dialek Tuscan yang dituturkan di wilayah Florence. Bukan semula imigran di Itali di Argentina berasal dari Florence dan dialek Tuscan tidak semestinya bahasa ibunda mereka. Justeru itu, walaupun dialek Tuscan-Florentine telah diangkat menjadi bahasa Itali selepas penyatuan negara Itali, namun imigran Itali di Argentina telah memilih bahasa utama negara tersebut iaitu bahasa Sepanyol sebagai bahasa mereka dan sehingga kini mereka tidak melihat terdapat keperluan untuk menjadikan bahasa Itali yang merupakan bahasa rasmi sebuah negara asing untuk dijadikan sebagai bahasa rasmi negara mereka biarpun mereka sendiri adalah berketurunan Itali!
Justeru itu, bukankah Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan sewajarnya dimartabatkan sebagai bahasa pemersatu untuk semua rakyat Malaysia?
Untuk yang berminat untuk mengikuti maklumat-maklumat ringkas di FB, boleh like dan follow page rasmi Ibnu Rusydi di bawah :